Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KPDNKK rampas minyak masak disorok di rumah kosong
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 5:16 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Muar merampas minyak masak seberat 3,585 kilogram yang dianggarkan bernilai hampir RM10,000 di sebuah rumah tidak berpenghuni di Rawang, Tangkak semalam.

Ketua Cawangan KPDNKK Muar Nor Azmi Lamisza berkata pada serbuan pukul 3.30 petang itu, pihaknya menyerbu sebuah rumah yang dipercayai dijadikan sebagai tempat menyorok bekalan minyak masak sejak beberapa hari lepas.

"Semasa serbuan, kita mendapati rumah tidak berpenghuni dan tidak ada sebarang perabot atau perhiasan yang kita percaya dijadikan sebagai satu tempat penyimpanan.

“Kita percaya minyak tersebut akan dijual untuk pasaran tempatan berikutan jangkaan kenaikan harga barang menjelang perayaan Deepavali. Jadi, ia mungkin dilakukan oleh peniaga yang mahu mengaut keuntungan dengan menaikkan harga barangan ini,” katanya ketika dihubungi di Johor Bahru hari ini.

Menurutnya lagi, pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengesan suspek.

“Pihak kami juga meminta kepada mana-mana orang yang mempunyai maklumat kes ini supaya tampil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan," katanya.

Nor Azmi berkata mereka yang terlibat boleh disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyorok barang kawalan dan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 22 Akta yang sama dan boleh didenda sebanyak RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya bagi individu.

Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM2 juta.

Dari Januari tahun ini sehingga semalam, cawangan itu telah merekodkan sebanyak 110 kes dengan nilai rampasan bernilai RM41,442.54 dan jumlah kompaun sebanyak RM19,100.

Sepanjang tahun lepas pula, KPDNKK Muar merekodkan sebanyak 108 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM617,273.60 dan jumlah kompoun sebanyak RM29,100.

Dari Januari tahun ini sehingga semalam, KPDNKK Muar telah menerima sebanyak 139 aduan berbanding 110 aduan sepanjang tahun lepas.

Nor Azmi berkata pihaknya juga mengucapkan terima kasih ke atas aduan dan maklumat dari orang ramai khususnya berkaitan isu-isu kepenggunaan dan penyelewengan.

Sementara itu, KPDNKK Negeri Sembilan memberi amaran tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana peniaga yang dengan sengaja menyorokkan minyak masak untuk tujuan tertentu.

Timbalan Pengarah Saifulbahri Abdul Kadir berkata setakat ini stok minyak masak masih lagi mencukupi untuk menampung permintaan domestik namun ia tetap perlu dipantau bagi mengelakkan dimanipulasi oleh pihak tertentu sehingga menyebabkan orang ramai sukar mendapatkan bekalan.

"Saya nak ingatkan kepada pengguna diluar sana supaya tidak terlalu panik ... setakat ini bekalan mencukupi dan janganlah membuat pembelian panik," katanya kepada Bernama hari ini.

emalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan harga minyak masak paket 1 kilogram (kg) kekal RM2.50 tetapi minyak masak dalam botol akan dijual mengikut harga pasaran berkuat kuasa 1 November ini.

Hamzah berkata kadar itu berikutan penstrukturan semula Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).

Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa pasaraya mendapati bekalan minyak masak masih mencukupi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS