Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pencemaran Sg Buah: Keputusan sampel air diketahui minggu depan
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 7:00 PM
Dikemaskini: 12:07 PM

Keputusan sampel air dipercayai mengandungi minyak mentah yang diambil dari longkang sekitar Kilometer 46.2 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) arah utara, Nilai, Negeri Sembilan, bakal diketahui minggu hadapan.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Anuar Ishak berkata sampel yang diambil oleh kakitangannya semalam akan membantu menjawab persoalan mengenai punca pencemaran di Sungai Buah, Nilai hingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih ditutup.

Anuar berkata hasil pemeriksaan JAS di kawasan longkang itu tengah hari semalam mendapati, ada kesan tumpahan bercampur dipercayai minyak diesel, minyak hitam dan minyak kelapa sawit, berpunca daripada kemalangan lori tangki membawa muatan minyak sawit, di kawasan itu Jumaat lalu.

"Oleh kerana tumpahan itu berlaku tujuh hari lalu dan ditambah lagi dengan hujan, menyebabkan campuran itu telah 'flush out' ke kawasan-kawasan lain.

"Faktor masa juga menyebabkan campuran terbabit telah membeku dan bertukar menjadi warna putih yang terapung di permukaan air.

"Maklumat daripada peniaga-peniaga di R&R (Rehat dan Rawat arah Utara) mengenai campuran berwarna putih di sekitar longkang R&R itu juga sepadan dengan warna putih yang kami jumpa di Kilometer 46.2," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Anuar berkata semasa tumpahan tersebut dijumpai, campuran berwarna putih sepanjang 10 meter itu didapati memenuhi permukaan longkang dan mengeluarkan bau kuat seperti minyak kelapa sawit di sekitar kawasan ini.

Tambahnya, tumpahan dalam saliran longkang didapati telah mengalir hingga ke Sungai Buah seterusnya mengakibatkan kawasan sungai terbabit tercemar.

Katanya, sampel air tersebut telah dihantar kepada Jabatan Kimia, semalam untuk analisa terperinci dan pengesahan keputusan sampel itu hanya akan diketahui pada minggu hadapan.

Bagaimanapun, tegasnya, JAS masih tetap melakukan pengawasan dan pemantauan pelepasan oleh kilang-kilang di Kawasan Industri Nilai, Kawasan Industri Arab Malaysian, Nilai dan Sungai Buah.

"Sebanyak 59 kilang telah diperiksa dan 14 daripadanya ada pelepasan ke sungai tetapi masih dalam keadaan terkawal.

"Keputusan terbaru sampel air di Sungai Buah juga normal dan tiada masalah pencemaran. Keadaan pH, suhu dan konduktiviti sungai itu juga baik.

"Namun, skop pemeriksaan kini ditumpukan di kawasan kemalangan dan JAS akan dapatkan maklumat terperinci mengenai kemalangan lori terbabit daripada agensi lain seperti PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan polis," tambahnya.

Tambah Anuar, PLUS juga telah mengarahkan pihak Projek Penyelenggaraan Lebuhraya Berhad (PROPEL) melakukan kerja-kerja pembersihan serpihan lori di kawasan terbabit.

Polis sebelum ini dilapor mengesahkan menerima laporan oleh seorang pegawai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), mengenai kejadian tumpahan minyak hitam dan cecair putih, yang mencemarkan Sungai Buah di Nilai pada Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, DSP Azrul Hisham Mohd Shaffie yang mengesahkan perkara itu dipetik berkata kemalangan membabitkan lori tangki membawa muatan minyak mentah untuk membuat sabun berlaku kira-kira pukul 1.50
tengah hari, Jumaat lalu dan kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS