Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keuntungan sebelum cukai TNB naik kepada RM8.07 bilion
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 7:33 PM
Dikemaskini: 11:34 AM

Keuntungan sebelum cukai Tenaga Nasional Bhd (TNB) meningkat sebanyak 13.2 peratus kepada RM8.07 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2016 daripada RM7.13 bilion tahun sebelumnya.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia, berkata pendapatannya meningkat sebanyak 2.9 peratus kepada RM44.53 bilion daripada RM43.28 bilion.

"Ini disebabkan peningkatan jualan elektrik sebanyak 4.5 peratus atau RM1.93 bilion kepada RM45.39 bilion berbanding RM43.47 bilion sebelum ini, khususnya di Semenanjung Malaysia yang mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 4.6 peratus atau RM1.88 bilion berbanding dengan tahun kewangan 2015," kata TNB.

Bagi suku keempat, keuntungan sebelum cukai menokok kepada RM1.87 bilion daripada RM1.41 bilion, bagaimanapun, hasil menurun kepada RM11.23 bilion daripada RM11.74 bilion.

"Penurunan yang agak ketara dalam hasil berpunca daripada peningkatan jumlah penerimaan rebat tarif Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang diiktiraf dalam suku tahun semasa berjumlah RM856.0 juta berbanding RM34.0 juta pada suku yang sama tahun lalu.

"Kenaikan penerimaan daripada ICPT adalah disebabkan harga purata gas asli cecair (LNG) yang lebih rendah pada suku semasa berbanding dengan suku yang sama tahun sebelumnya," katanya.

Sementara itu, pengukuhan ringgit berbanding dengan dolar US, berserta harga purata LNG yang lebih rendah pada suku tahun semasa telah menghasilkan keuntungan yang lebih tinggi pada RM941.3 juta.

TNB ketika bercakap mengenai prospek memberitahu kerajaan Malaysia dalam Bajet 2017 membuat unjuran bahawa pertumbuhan ekonomi negara akan mencapai 4.0 peratus hingga 5.0 peratus, berikutan kelembapan ekonomi global.

Oleh yang demikian, dijangkakan bahawa pertumbuhan permintaan elektrik akan selaras dengan unjuran ini.

Berdasarkan senario tersebut, TNB terus kekal berhati-hati pada prospek kumpulan untuk tahun kewangan 2017.

- Bernama

Lihat Komen
ADS