Paling Popular
Terkini

ULASAN l Masyarakat Hindu hari ini merayakan Pesta Cahaya dengan sangat meriah.

Kemeriahannya dengan berwarna warni juga dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia apabila jalan-jalan raya utama menjadi sesak dengan kenderaan berpusu-pusu pulang ke kampung, tidak mengira bangsa dan agama.

Iklan-iklan ucapan Deepavali oleh syarikat-syarikat gergasi Malaysia telah membanjiri kaca televisyen sejak berminggu yang lalu. Semuanya mengajak kepada perpaduan masyarakat Malaysia berbilang kaum, budaya, dan agama, bersama-sama memajukan tanah air tercinta.

Masyarakat India sering dipandang serong dengan imej kemiskinan dan jenayah, sehingga salah satu iklan popular cuba membetulkan persepsi ini dengan menunjukkan sisi mulia dua anak muda India yang sebenarnya membantu kerja kebajikan di rumah orang-orang tua.

Imej kemiskinan seharusnya telah lama hilang memandangkan negara telah hampir genap 60 tahun merdeka dari cengkaman British yang asalnya menjadikan mereka buruh di ladang-ladang.

Perlembagaan Malaysia telah lama menjadikan mereka warganegara yang sama hak dan tanggungjawabnya seperti sekelian rakyat yang lain, termasuklah hak ekonomi dan sosial.

Musim yang sama, negara sedang mengikuti bajet tahunan negara yang dibentangkan oleh pemimpin utama Malaysia, Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan menteri kewangan Malaysia.

Negara juga digemparkan dengan surat terakhir mangsa terjun jambatan Pulau Pinang yang antaranya menulis akibat tekanan ekonomi yang dihadapinya sebagai pengusaha kedai runcit, kemudian membawa kepada penemuan jasadnya kemudian.

Semalam, masjid-masjid di ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur, disediakan dengan teks khutbah Jumaat yang antaranya menggariskan kebaikan-kebaikan dan kelebihan Bajet 2017 yang baru dibentangkan dengan pelbagai inisiatif dan peruntukan untuk kebaikan rakyat jelata.

Bahkan perdana menteri memasukkan gambar dalam akaun twitternya menunjukkan sokongan “orang agama” kepada bajet terbaru ini, dengan beberapa anak-anak tahfiz memegang placard sokongan terhadap bajet dan Perdana Menteri, tertulis “bajet mesra orang agama”.

Kebetulannya, ulama terkenal dari Tanah Hadramaut, Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz Ba Alawi, hadir menyertai majlis besar-besaran sempena memperingati kelahiran Nabi Muhammad, selawat dan salam atasnya, yang diadakan secara bulanan di sebuah masjid di ibu negara.

Ironinya, menurut Ensiklopedia Bebas Wikipedia, Hari Deepavali berasal daripada Raja Narakasura yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah dikalahkan dan dibunuh oleh Dewa Krishnan.

Sebelum mati, Raja Narakasura meminta semua manusia agar mereka merayai hari kemenangan itu sebagai peringatan kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat kejahatan sesama manusia.

Ramai penulis sejarah dunia menyatakan bahawa ajaran Hindu merupakan agama tertua dunia pernah direkodkan.

Hari ini, ajaran Hindu di dunia bukanlah satu anutan yang boleh dipukul rata.

Penganut ajaran Hindu ada yang mempercayai keesaan Tuhan yang Maha Kuasa.

Istilah dewa dalam bahasa kuno, dan dalam budaya Hindu, sering digunakan juga untuk manusia yang hebat atau berpengaruh besar dalam masyarakat.

Cliche penindasan menentang kezaliman telah wujud sejak zaman berzaman, tidak hairanlah sesiapa yang menentang kezaliman dihormati dan didewakan.

Nabi Muhammad, selawat dan salam Allah atasnya, juga dibangkitkan untuk mengeluarkan manusia daripada menyembah manusia kepada menyembah Tuhan yang mencipta manusia, daripada kesempitan keduniaan kepada keluasan dunia dan akhirat, juga daripada kezaliman agama-agama, kepada keadilan Islam.

Tidak hairanlah yang menentang baginda seawal dakwahnya ialah golongan penguasa dan pembesar Kota Makkah yang menyalahguna kuasa “tuan rumah” masjid suci pertama untuk mengaut keuntungan berganda.

Apa pun, pada hari ini, marilah kita bersama-sama bersatu hati dan tenaga memakmurkan tanah air tercinta, sebagai satu rakyat Malaysia!


Zainal Abidin Abdul Rahim adalah lulusan Universiti al-Iman, Sanaa, Yemen yang kini berkhidmat sebagai sukarelawan JK Ulama di pertubuhan IKRAM Malaysia

Lihat Komen
ADS