Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: Siasat dakwaan Soros biaya BERSIH, Merdeka Center dan Mkini
Diterbitkan:  Oct 31, 2016 5:51 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Maklumat yang mendakwa hartawan George Soros membiayai BERSIH, Merdeka Center dan Malaysiakini perlu disiasat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ia harus disiasat secara emperikal, iaitu berdasarkan pemerhatian dan ujian saintifik.

"Soalnya bukan "siapa" dibiayai dan "kenapa". Apa yang harus ditanya ialah penglibatan pihak luar terhadap politik negara.

"Ini kerana politik Malaysia mengikut acuan yang sesuai dengan politik
negara kita. Tidak perlulah, jika benar melibatkan pihak luar apatah lagi
pembiayaan aktiviti politik sama ada menentang atau menyokong mana-mana organisasi atau individu," katanya dilapor Bernama.

Zahid berkata demikian kepada pemberita pada pelancaran buku bertajuk 'Being Abdullah Badawi', di Putrajaya hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan dokumen yang didakwa berasal daripada jaringan penaja bantuan antarabangsa Open Society Foundation (OSF) yang menunjukkan pengasasnya George Soros, mempunyai “kepentingan peribadi” dalam pilihan raya Malaysia.

Dokumen itu, dikatakan minit mesyuarat Program Malaysia OSF bertarikh 22 Jun 2015 dibocorkan oleh DC Leaks, laman web yang mencuri perhatian selepas menggodam pelayan e-mel jawatankuasa kebangsaan parti Demokrat Amerika Syarikat, tahun lalu.

Malaysiakini dan KiniTV turut disebut sebagai penerima dana daripada program itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysiakini Premesh Chandran bagaimanapun berkata dana berkaitan KiniTV digunakan untuk menghasilkan program Realiti Sarawak dan Sekilas Bumi Kenyalang.

“Dana yang disebut itu untuk menyokong KiniTV menghasilkan lebih banyak buletin dan berita berkaitan Sarawak, yang sukar kepada Malaysiakini, memandangkan faktor kos dan kesukaran membuat liputan di kawasan yang besar,” kata Premesh.

Katanya, dana itu juga hanya sebahagian kecil daripada hasil Malaysiakini, yang kebanyakan bergantung kepada langganan dan iklan.

“Kesemua bantuan berada bawah 10 peratus daripada bajet keseluruhan Malaysiakini bagi memastikan laman web ini tidak bergantung pada satu sumber dana,” kata Premesh.

Untuk mengetahui berkaitan dasar ketelusan dan kepertanggungjawapan Malaysiakini, sila klik di sini.

Lihat Komen
ADS