Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kesatuan wartawan mahu Umno pertimbang lepaskan Utusan
Diterbitkan:  Nov 1, 2016 6:54 PM
Dikemaskini: 12:19 PM

Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Semenanjung Malaysia mahu Umno selaku pemegang saham terbesar Kumpulan Utusan buat masa ini agar untuk melepaskan pegangannya dalam syarikat akhbar Melayu tertua di Malaysia itu.

Dalam kenyataannya, Majlis Tertinggi NUJ berkata, tindakan Umno melepaskan penguasaan saham sekitar 50 peratus yang dimilikinya akan membolehkan pengambil alihan saham oleh pihak lain.

"Dengan pengambil alihan tersebut, ia akan membuka seluas-luasnya ruang kepada usaha untuk memulihkan kedudukan kewangan syarikat yang kini berdepan pelbagai masalah dengan melaksanakan penstrukturan semula.

"Ini termasuklah kerugian yang terus dicatat Utusan sejak 2009 sehingga ke hari ini selain pembayaran lewat gaji kakitangannya, kejatuhan pengedaran akhbar dan pendapatan iklan di samping terpaksa membayar ganti rugi akibat kalah dalam saman di Mahkamah.

"Paling menyedihkan apabila syarikat terpaksa menggunakan wang potongan pinjaman peribadi kakitangan kepada pihak bank untuk meneruskan operasi syarikat buat masa ini.

"Situasi tersebut menyebabkan kakitangan terpaksa menanggung tunggakkan hutang daripada pinjaman peribadi tersebut yang sudah tidak dibayar sejak dua bulan yang lalu.

"Di samping itu, Utusan terpaksa membelanjakan banyak wang untuk membayar ganti rugi selepas kalah dalam perbicaraan," kata kesatuan itu, hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan setelah Utusan gagal untuk membayar gaji mengikut jadual dan telah dua kali lewat membayar gaji kakitangannya tahun ini.

Kali pertama ialah pada bulan Julai yang lalu dan terbaru ialah pada 31 Oktober 2016 dengan adanya kemungkinan berlarutan sehingga hujung tahun ini.

Namun, menurut sumber yang rapat dengan kesatuan, isu kelewatan gaji bulan Oktober telah selesai dengan semua ahli NUJ telah menerima gaji bulan Oktober pada hari ini, lewat sehari dari kebiasaannya.

Mengulas lanjut, ujar NUJ, bagaimanapun pihaknya tidak menyalahkan Pengarah Urusan kumpulan, Datuk Noordin Abbas dan Ketua Pengarang kumpulan, Datuk Aziz Ishak dalam isu ini kerana mereka dilihat berusaha keras memastikan 'survival' Utusan.

"Sebaliknya, pihak pengurusan kanan di Utusan tidak turut bersama-sama membantu dan berusaha menjana semula pendapatan syarikat seperti hanya melepaskan batuk di tangga.

"Di samping itu, sokongan yang diperlukan daripada orang Melayu termasuk syarikat berkaitan kerajaan GLC dan kementerian-kementerian dalam membantu Utusan juga dipandang sepi," jelasnya.

Pada masa yang sama, NUJ bersedia bertemu dengan pemegang saham terbesar Utusan untuk menyalurkan pandangan pihak ketiga dalam isu berkaitan demi 'survival' Utusan dan kakitangan syarikat, katanya.

Lihat Komen
ADS