Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganjur BERSIH 5.0 degil, kata Datuk Bandar KL

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohamad Amin Nordin Abd Aziz menyifatkan pihak penganjur BERSIH 5.0 sebagai 'degil' kerana tetap mahu meneruskan perhimpunan berkenaan berhampiran dengan Dataran Merdeka.

Oleh itu, tegas Mohamad Amin, pihaknya menyerahkan kepada pihak polis untuk bertindak lebih lanjut ekoran keengganan penganjur BERSIH untuk mengubah rancangan asal mereka.

"Dia orang ini degil, kita dah tolak tapi mereka akan turun juga jadi kita siapkan dengan polislah. Kita akan kawal dengan polis," kata Mohamad Amin.

Mohamad Amin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Majlis Dialog Bajet DBKL 2017 bersama ahli-ahli Parlimen dan para pemimpin masyarakat di Institut Latihan DBKL, Kuala Lumpur.

Semalam, Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah berkata, beliau tetap meneruskan perhimpunan yang dijadualkan pada 19 November ini di tempat yang ditetapkan, namun, tidak akan memasuki Dataran Merdeka.

Pengerusi pertubuhan pendesak reformasi pilihan raya itu berkata, setelah mengadakan pertemuan dengan pihak polis, mereka mengambil keputusan untuk meneruskan perhimpunan BERSIH 5.0 mengikut rancangan asal.

"Polis tak kata boleh berhimpun atau tidak, tapi kami akan teruskan (berhimpun) seperti diumum sebelum ini.

"Peserta akan mula berkumpul di Dataran Maybank dan Masjid Negara sebelum menuju ke Dataran Merdeka.

"Kami tidak akan masuk ke padang di Dataran Merdeka sebaliknya hanya berada berhamppiran kawasan itu," katanya.

BERSIH sebelum ini mengumumkan dua lokasi berkumpul pada perhimpunan BERSIH5 nanti, iaitu Dataran Maybank di Jalan Bangsar dan Masjid Negara.

Seterusnya, para peserta akan berjalan dan berhimpun di Dataran Merdeka.

Perhimpunan berkenaan bermula pada jam 10 pagi dan berlanjutan sehingga 6 petang.

Menurut Maria larangan dikeluarkan pihak berkuasa - polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) - hanya membabitkan Dataran Merdeka dan Jalan Raja.

"Justeru kita tidak akan masuki dua kawasan ini. Kami menghormati DBKL," kata Maria.

Lihat Komen
ADS