Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Berdepan penjara, aktivis pelajar mohon doa rakyat

Aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim, yang berdepan kemungkinan dihumban ke penjara atas dakwaan menghasut, memohon rakyat supaya berdoa untuknya.

Bercakap selepas kesnya ditangguhkan di Mahkamah Rayuan hari ini, beliau berkata, sejak tiga tahun lalu, beliau dan rakan-rakan aktivis yang berdepan dengan tuduhan menghasut menyokong antara satu sama lain untuk memastikan mereka kekal bebas.

"Kami mahu rakyat berdoa agar segalanya berakhir dengan baik, ini kerana adalah hak setiap rakyat untuk bebas bersuara.

"Kami tidak mahu melihat Akta Hasutan 1948 yang merupakan undang-undang penjajah digunakan sebagai senjata politik terhadap mereka yang tidak sependapat.

“Malaysia masih jauh untuk mencapainya (dari segi kebebasan bersuara)," katanya kepada pemberita.

Adam Adli merayu sabitan terhadap tuduhan menghasut manakala pendakwaan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan aktivis itu tidak dipenjarakan dengan bayaran denda RM5,000.

Aktivis berusia 24 tahun itu pada 23 Mei 2013 pada sebuah forum didakwa menggesa supaya kerajaan yang dipilih secara sah dijatuhkan.

Pada 19 Sept, 2014, Mahkamah Sesyen mendapati beliau bersalah mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan.

Adam Adli gagal untuk mengetepikan sabitan hasutan pada Februari tahun ini, tetapi Mahkamah Tinggi memutuskan beliau hanya perlu membayar denda daripada menjalani hukuman penjara.

Rayuan hari ini ditangguhkan selepas peguamnya, Gurdial Singh Nijar menerima cadangan panel tiga hakim itu supaya menunggu keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes seorang lagi aktivis pelajar lain, Mohd Safwan Anang, yang juga menghadapi tuduhan menghasut.

Ini adalah rayuan terakhir buat Adam Adli dan Safwan kerana kes mereka bermula dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang mendapati kedua-dua mereka bersalah menghasut.

Panel hari ini diketuai oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Wira Mohtarudin Baki, manakala dua anggota lain adalah Datuk Prasad Sandosham Abraham dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS