Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MP: Jamal juga harus sedia isytihar harta
Diterbitkan:  Nov 16, 2016 7:16 PM
Dikemaskini: 11:19 AM

Memandangkan beliau “mengganggu kediaman peribadi” orang lain melalui tinjauan helikopter, adakah Datuk Seri Jamal Yunos bersedia mengisytiharkan harta sendiri dan akaun banknya?

Perkara itu ditimbulkan oleh anggota parlimen Segambut Lim Lip Eng setelah Jamal semalam meninjau rumah 'Disneyland' Ketua Pemuka PKR (AMK) Ampang Datuk Adam Rosly bagi membuktikan kekayaannya.

“Adakah Jamal berani untuk berkongsi dengan orang ramai tahap pendidikannya dan bagaimana beliau berjaya mengumpul harta kekayaannya sendiri?

“Sekiranya beliau enggan, bolehkah kita pula melaporkan beliau supaya disiasat pihak SPRM (Suruhanjaua Pencegahan Rasuah Malaysia)?” soalnya.

“Sebagai seorang berpangkat Datuk Seri yang kaya, Jamal juga wajar mengisytiharkan berapa banyak cukai pendapatan dan GST (cukai barangan dan perkhidmatan) yang telah beliau sumbangkan kepada negara tahun lalu untuk menjustifikasi kekayaannya dan dakwaan BN bahawa GST hanya mensasarkan warga yang kaya dan berkemampuan.”

Lim juga bertanya jumlah sewaan untuk sesi fotografi daripada helikopter semalam dan siapa yang membayarnya.

“...apalah bijaknya menggunakan helikopter sedangkan gambar yang diambil dari jarak itu semuanya kabur belaka?

“Bukankah lebih jimat kos sekiranya beliau mendapatkan khidmat drone untuk mengambil gambar berkualiti tinggi dari jarak yang lebih dekat?

“Kaya tapi bodoh pun tak guna juga,” katanya lagi.

Lim bagaimanapun berkata Jamal berhak mengambil gambar apa sahaja kawasan, kecuali kawasan-kawasan larangan kerajaan.

“Tindakannya tidak menyalahi undang-undang.

“Ini sama sahaja dengan tindakan DAP mendedahkan gambar-gambar dari mata burung banglo bekas menteri besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo yang kemudiannya mengakibatkan beliau dipenjara.”

Lihat Komen
ADS