Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Setiap kali menjelang perhimpunan BERSIH, persoalan seperti “Apa yang saya dapat jika turun perhimpunan BERSIH?” akan ditanya oleh sebilangan rakyat Malaysia.

Ada juga yang berpegang kepada “Hari ini turun BERSIH, esok Najib tetap perdana menteri”. Mereka menganggap tiada sebarang perubahan akan berlaku.

Ini antara kenyataan yang biasa kita dengar. Benar, hari ini pergi demonstrasi, esok kerajaan BN masih mentadbir Malaysia. Hari ini pergi demonstrasi, esok harga minyak masih tidak turun. Hari ini pergi demonstrasi, esok-esok harga tol akan tetap naik.

Pernahkah kita berfikir bahawa proses pendemokrasian atau perubahan itu jarang berlaku secara drastik.

Sebaliknya, ia memerlukan rantaian usaha, pengorbanan dan masa dalam memastikan agenda perubahan mampu digerakkan.

Terdapat beberapa perkara yang boleh kita teliti, yang boleh dianggap sebagai kejayaan dalam pendemokrasian negara oleh rakyat sendiri melalui perhimpunan BERSIH1 hingga BERSIH4.

Pengetahuan tentang hak-hak rakyat

Celik sivik rakyat Malaysia dalam memahami Perlembagaan Persekutuan mengenai Perkara 10(1)(b) yang menyatakan bahawa semua rakyat mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

Jika sebelum ini mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kita semua mempunyai hak untuk menyuarakan rasa tidak setuju kepada kerajaan melalui perhimpunan aman di jalan raya.

Namun, setelah melalui empat siri BERSIH, boleh dilihat jumlah peningkatan daripada 30,000 orang pada BERSIH1 sehingga hampir 500,000 orang pada BERSIH4 menjelaskan orang ramai semakin berani ke hadapan, mengetahui dan bersuara tentang hak mereka di negara ini.

Walaupun sedikit ironi, tetapi intipatinya penting.

Dalam video terbaru yang telah dimuat naik oleh Facebook Kelab Che Det, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata:

“Kita kalau nak lawan sesuatu tentulah ada rintangan, halangan. Kita mesti sanggup untuk menghadapi halangan dan mengatasi halangan itu.

“Kalau kita nak berjuang cuma bila keadaan cukup bersih, cukup elok, jalan luas dengan ditabur bunga, itu bukan perjuangan. Kerana hasilnya adalah kebaikan bagi diri kita”.

Peratus keluar mengundi semakin meningkat

Dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13, sebanyak 13,268,002 pemilih yang berdaftar. Mereka terdiri daripada pengundi biasa sebanyak 12,885,434 orang, pengundi pos sebanyak 146,742 orang dan pengundi awal sebanyak 235,826 orang.

Pada tahun 2013, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa dalam PRU13 sebanyak 84.84 peratus atau 11,257,147 daripada jumlah 13,268,002 pengundi berdaftar telah keluar mengundi bagi 222 kerusi Dewan Rakyat.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula terdapat 505 kerusi, sebanyak 9,742,254 orang atau 85.82 peratus yang telah keluar mengundi.

Jika dibandingkan dengan jumlah pemilih yang keluar mengundi pada PRU12, terdapat peningkatan sebanyak 30.44 peratus iaitu dari 54.40 peratus pada PRU13 kepada 84.84 peratus pada PRU berikutnya.

Jumlah pemilih berdaftar pada PRU12 adalah sebanyak 10,922,139 dan jumlah pemilih yang keluar mengundi pula adalah 8,161,039.

PRU13 sebenarnya telah mencatatkan peratusan keluar mengundi paling tinggi dalam sejarah pilihan raya di Malaysia dan perincian antara PRU12 dan PRU13 dapat dilihat seperti berikut:

 

 

Penggunaan dakwat kekal

Buat kali pertama dalam sejarah pilihan raya umum di Malaysia, SPR memperkenalkan penggunaan dakwat kekal pada PRU12 tahun 2008.

Bagaimanapun ia tidak digunakan dengan alasan bertentangan dengan perlembagaan kerana menghalang orang yang mengundi walaupun tangannya bertanda.

Namun, sejak PRU13, ia telah digunakan secara rasmi sehingga yang terkini di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Dakwat kekal ini akan dicalit pada jari setiap pengundi untuk mengelak kemungkinan ada percubaan oleh mana-mana pengundi yang tidak bertanggungjawab untuk mengundi lebih sekali di tempat yang berlainan.

Antara negara-negara lain yang telah menggunakan dakwat kekal ini adalah Afrika, India, Pakistan, Bangladesh dan Indonesia.

Walaupun penggunaan dakwat kekal ini meletakkan Malaysia dalam kumpulan yang sama dengan negara kurang maju, sekurang-kurangnya ini adalah usaha ke arah pilihan raya yang bersih.

Pada masa yang sama rakyat perlu terus menggesa agar penggunaan dakwat kekal ini diperbaiki kerana di beberapa negara lain telah pun menggunakan pengesahan sistem pengundian biometrik yang lebih sistematik.

Ke arah Malaysia Baru

Masih ingat ketika berlakunya tindakan agresif daripada pihak polis yang memukul, menembak gas pemedih mata dan menyembur air kepada para demonstran.

Kita telah menunjukkan kesepaduan jiwa dengan membantu antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan agama.

Ada antara kita yang bantu membasuhkan muka dengan garam dan air serta memapah mereka yang cedera mendapatkan bantuan perubatan.

Dan perkara yang lebih penting adalah kita berjaya membuktikan yang kita mampu untuk berkumpul secara aman dan harmoni tanpa mengira latar belakang kaum serta agama.

Ini menunjukkan terdapatnya rakyat Malaysia yang benar-benar ingin melihat sebuah negara merdeka ini meningkat dewasa dengan matang dan menghormati antara satu sama lain.

Suka untuk saya kongsikan, jika ditanya tentang pengalaman menyambut hari kemerdekaan negara yang paling menyeronokkan dan menyentuh perasaan, secara peribadi adalah sewaktu menyanyikan lagu Negaraku bersama ratusan ribu rakyat Malaysia pada malam terakhir BERSIH4.

Malaysia baru

Penting untuk diingatkan, beberapa tahun kebelakangan ini, negara kita telah digemparkan dengan pelbagai isu yang melibatkan perkauman dan ekstremisme agama, kleptokrasi, nepotisme, rasuah, salah guna kuasa, kematian dalam tahanan dan banyak lagi memberi kesan kepada semua pihak tanpa mengira kaum dan agama.

Terbaru, anggota parlimen Pandan, Rafizi Ramli telah dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan kerana didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Pengasas Gerakan Anak Muda Selamatkan Sabah, Jufazli Shi Ahmad pula ditahan reman hanya kerana mengkritik kerajaan Sabah dengan membongkar isu rasuah RM114.5 juta yang membabitkan seorang pengarah dan timbalan pengarah Jabatan Air Sabah.

Juga isu-isu seperti NFC, 1MDB, Rizab Tabung Haji dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang berkait dengan integriti dan ketelusan pentadbiran negara ini menuntut agar rakyat Malaysia terus berani melawan kekejaman rejim pemerintah.

Untuk semua rakyat Malaysia, percayalah bahawa apabila kita membantah kebimbangan ini bersama-sama, kita akan menyedari bahawa kita sebenarnya berkongsi keresahan yang sama.

Ketepikan sengketa dan perbezaan, mari kita bersama-sama menjadi penggerak kepada pendemokrasian yang lebih baik di negara ini. Ayuh, satukan tenaga demi Malaysia yang baru!


NUR HANUN MUHAMMAD dan TARMIZI ANUWAR percaya kepada suara rakyat sebagai kunci perubahan ke arah Malaysia yang lebih sejahtera.

Lihat Komen
ADS