Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali mahu orang ramai supaya tidak menyamakan kumpulan pendesak Melayu yang diterajuinya dengan gerakan Baju Merah yang dipimpin oleh Datuk Seri Jamal Md Yunos Jamal.

Katanya, tindakan Jamal terhadap BERSIH adalah berlainan dengan apa yang dilakukan oleh PERKASA sebelum ini.

"Saya tak letakkan saya sama taraf dengan dia. Dia ini lain, saya pemimpin. Saya seorang pemimpin dengan cara-cara saya sendiri," katanya pada sidang medianya di ibu pejabat PERKASA hari ini.

Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada tindak tanduk yang dilakukan oleh Jamal yang juga adalah Ketua Bahagian Umno Sungai Besar ke atas BERSIH kini sama seperti yang dilakukan oleh NGO itu terhadap kumpulan Baju Kuning sebelum ini.

Gerakan Baju Merah dilaporkan bukan sahaja ‘menghambat’ aktivis mahupun orang ramai yang menyokong BERSIH, tetapi berlaku juga beberapa insiden keganasan membabitkan petugas media.

Konvoi BERSIH dalam siri jelajah ke beberapa bandar di seluruh negara juga diganggu.

Terbaru, Ahad lalu, Jamal yang terbabit dengan pergelutan berdarah di hidungnya apabila kumpulannya dihalang mengekori aktivis PKR yang mempromosikan kempen himpunan BERSIH.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang mengakui Jamal yang adalah bekas ahli PERKASA, berkata, beliau tidak pernah melakukan sebarang keganasan atau kekasaran terhadap BERSIH.

"Kita dulu ada uar-uarkan dulu sekali. BERSIH mula-mula dulu kita kata kita nak bantah perkara-perkara kita tak puas hati boleh kita bantah tapi ikut cara betul. BERSIH kali pertama mereka teruskan juga berhimpun dan kita tak ganggu.

"Kita backout. Kita serahkan kepada polis untuk menguruskan mereka," kata bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu.

Beliau turut ditanya adakah tindakan Jamal yang juga adalah bekas Majlis Tertinggi PERKASA telah memalukan NGO itu.

"Kenapa nak malukan PERKASA? Banyak orang kalau orang Islam buat benda tak baik dia memalukan Allah? Sama juga macam tu. Saya rasa tak relevan, tak ada kena mengena.

"Dia masalah hak peribadi ini, kita tak boleh nak samakan, itu hak dia," katanya.

Lihat Komen
ADS