Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan salah tafsir cadangan TPM, kata Ku Nan
Diterbitkan:  Nov 21, 2016 9:37 PM
Dikemaskini: 1:39 PM

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, cadangan meminda Perlembagaan parti bagi memasukkan klausa baharu mengenai jawatan pemangku timbalan presiden tidak harus dinilai atau disalah tafsir oleh mana-mana pihak.

Cadangan tersebut dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujar Tengku Adnan yang popular dengan gelaran Ku Nan, cadangan itu disifatkan sebagai berasas, memetik laporan Bernama.

"Jika diteliti ucapan beliau (Ahmad Zahid), adalah jelas sekali kenyataannya itu mempunyai asas iaitu beliau telah melihat betapa rumitnya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak dahulu terpaksa menjalankan tugas tanpa pemangkuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya cadangan Ahmad Zahid, yang juga naib presiden Umno dan menjalankan tugas timbalan presiden parti, hendaklah dibawa ke peringkat parti terlebih dahulu sebelum sebarang pindaan Perlembagaan boleh dilakukan.

Justeru itu, katanya kenyataan itu tidak harus dipolemikkan kerana ia sangat jelas dan nyata.

Ku Nan berpendapat cadangan Ahmad Zahid dibuat bagi membawa penyelesaian jangka panjang untuk parti, dan bukannya atas kepentingan peribadi.

"Penyelesaian kepada keadaan seumpama ini, jika menurut timbalan perdana menteri, juga harus meliputi jawatan-jawatan lain seperti pemangkuan oleh timbalan ketua Umno bahagian apabila ketua bahagian meninggal atau seumpamanya," katanya.

Berdasarkan Perlembagaan Umno, Fasal 9.9 hanya menyentuh tentang pemangkuan jawatan presiden yang boleh dipangku oleh timbalan presiden sehingga diadakan pemilihan presiden baharu.

Fasal 9.10 pula menyebut tentang naib presiden yang boleh memangku jawatan pemangku presiden sehingga diadakan pemilihan baharu.

Lihat Komen
ADS