Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images

Kira-kira 40 anggota parlimen pembangkang hari ini berarak membantah penahanan Maria Chin Abdullah mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Mereka berarak dari bangunan parlimen ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman sambil melaungkan "Bebas Maria!", "hentikan Sosma" dan "hidup BERSIH’.

Turut kelihatan Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas naib presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Anggota Jawatankuasa Pemandu BERSIH, Mandeep Singh.

Selain itu turut menyertai perarakan itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tian Chua (PKR-Batu), Teresa Kok (DAP- Seputeh), Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah), Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Hanipa Maidin (AMANAH-Sepang) dan Dr Siti Mariah Mahmud (AMANAH-Kota Raja).

Perarakan sejauh kira-kira 500 meter itu membawa sepanduk "Tangkap MO1, bebaskan pemberi maklumat" , "Jangan salah guna Sosma" dan "Pertahankan hak ahli parlimen".

Apabila tiba di Bukit Aman mereka menyerahkan memorandum bantahan dan diterima Pegawai Komunikasi Korporat Urusetia Ketua Polis Negara, ASP Noor Azman yusuf.

Maria Chin ditahan polis pada Jumaat - sehari sebelum perhimpunan BERSIH5 diadakan - di pejabatnya di Petaling Jaya.

Sebelum ini BERSIH disiasat mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan menerima pembiayaan daripada Open Society Foundations yang dikaitkan dengan hartawan AS, George Soros.

Mengikut Sosma Maria boleh ditahan selama 28 hari selepas mendapat kelulusan mahkamah.

Maria Chin kini dikatakan dikurung bersendirian.

Sementara itu, pada sidang media di lobi Parlimen, Ketua Whip Parlimen PKR Datuk Johari Abdul memberitahu, perarakan dari Parlimen ke Bukit Aman pagi tadi bertujuan untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap tindakan polis.

Antara kandungan memorandum yang diserahkan adalah berhubung bantahan terhadap penahanan Maria yang dianggap sebagai pencabulan haknya sebagai rakyat Malaysia yang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap dakwaan kesalahan yang dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah, mereka turut mempertikaikan penahanan Maria di bawah Sosma memandangkan akta tersebut bertujuan untuk membendung pengganas.

"Oleh yang demikian Puan Maria Chin Abdullah hendaklah dibebaskan serta merta tanpa syarat," kata Johari memetik kandungan memorandum berkenaan.

Kandungan lain dalam memorandum itu turut mengecam tindakan polis yang menahan wakil rakyat seperti MP Batu Tian Chua dan MP Ampang Zuraida Kamaruddin semasa himpunan BERSIH.

Malah mereka turut mendesak supaya polis tidak lagi memanggil mana-mana wakil rakyat untuk disiasat kerana berucap dalam Dewan Rakyat seperti yang dikenakan terhadap Muhyiddin, Shafee dan Datuk Seri Husni Hanadzlah (BN-Tambun).

 

Lihat Komen
ADS