Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman menyifatkan tindakan PAS yang mahu mengambil tindakan terhadap anggota parti itu kerana menyertai perhimpunan BERSIH5 pada Sabtu lalu sebagai tidak wajar.

Ahmad Lutfi berkata, ini kerana apa yang dilakukan BERSIH adalah munasabah dan wajar bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

Apatah lagi, ujar Ahmad Lutfi, PAS sebelum ini merupakan penggerak utama sewaktu BERSIH1 sehingga BERSIH3 berlangsung.

"Secara peribadi, saya rasa kalau betul itu tuntutan PAS, ia adalah tidak wajar.

"Kerana saya merasakan daripada awal PAS sebenarnya merupakan penggerak utama BERSIH dan rentetan BERSIH itu sesuatu yang munasabah dan amat wajar sekali terutama untuk pilihan raya yang bersih.

"Dan ia disepakati PAS dari awal dan BERSIH tak pernah melencong dan tidak tersasar dari perjuangannya," kata Lutfi kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Lutfi berkata, siapalah beliau untuk PAS ambil tindakan kerana dirinya kini hanyalah anggota biasa yang tidak punyai kepentingan serta berada dalam keuzuran.

"Saya pun tidak ada peranan yang penting sekarang dan saya tak rasa mereka melihat saya pun. Saya hadir dalam BERSIH4 sewaktu PAS tidak terbabit dalam BERSIH.

"Saya merasakan saya perlu hadir untuk tunjuk sokongan walaupun sekarang saya bertongkat.

"Sebab kalau tak pergi pun tidak ada apa yang kurang tapi komitmen saya bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bersih tak boleh tak pergi," kata Lutfi.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS akan mengambil tindakan terhadap anggota parti itu yang menyertai perhimpunan BERSIH5.

Menurut Abdul Hadi, sekiranya menerima aduan dan terbukti anggota parti berkenaan hadir pada perhimpunan tersebut, ia akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti untuk tindakan.

Mengulas lanjut, Lutfi berkata apa yang cuba PAS lakukan itu kini hanya akan membuatkan parti yang memperjuangkan Islam itu semakin terpencil daripada rakan komponen pembangkang yang lain.

"Untuk PAS tidak terbabit dalam BERSIH pun boleh dipersoalkan apatah lagi untuk menghalang dan mengambil tindakan terhadap anggota parti yang menyertai BERSIH.

"Malah, tindakan PAS itu juga akan membuatkan PAS semakin terpencil daripada rakan-rakan pembangkang.

"Dan saya rasa terkilan daripada awal dengan sikap PAS untuk tidak mahu turut serta dalam perjuangan yang sama-sama diperjuangkan serta tidak ada satu sebab yang munusabah untuk PAS mengasingkan diri dari perjuangan rakyat itu," tambah Lutfi.

Tidak ada komen

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubang Rotan dari PAS, Mohd Nasir Mustafa berkata, kehadirannya pada perhimpunan tersebut adalah untuk rakyat Malaysia.

"Saya tak ada komen tentang tindakan atau apa. Itu bukan perkara yang di sebelah (keputusan beliau untuk dikenakan tindakan) saya.

"Saya antara yang terlibat dalam BERSIH 1,2,3 dan 4 dan keperluan untuk kita memastikan kita antara yang menjayakan BERSIH memang ada.

"Jadi, itu sebab kenapa saya sertai dan itu antara perkara yang paling berkesan bagi kita pastikan apa yang berlaku sekarang ini seperti jenayah yang dilakukan perdana menteri dapat kita lawan dan tentang," kata Mohd Nasir kepada Malaysiakini.

Ujar Mohd Nasir, rakyat kini sudah kehabisan idea untuk menyuarakan suara hati mereka lantas jalan raya adalah pilihan terbaik buat mereka.

Jelas Mohd Nasir, isu 1MDB, isu yang melibatkan kewangan atau yang disimpulkan sebagai kleptokrasi adalah perkara serius yang akan merosakkan negara.

"Saya tidak ada apa-apa, saya hanya salah seorang rakyat Malaysia yang mahu mengumpul kekuatan rakyat bagi menentang kemungkaran yang sangat serius.

"Pendekatan lain tidak cukup tetapi pendekatan kita melalui jalan raya adalah yang paling baik dan kita dapat lihat respon daripada kerajaan atau Umno-BN di mana mereka begitu takut dengan suara rakyat," tegas Mohd Nasir.

Hadir bukan atas dasar parti

Sementara itu, artis Abby Abadi pula berkata kehadirannya ke perhimpunan BERSIH5 bukan atas dasar parti.

Sebaliknya, Abby berkata ia adalah kesedarannya sebagai rakyat Malaysia.

"Saya pergi (BERSIH5) bukan atas dasar parti tetapi saya pergi kerana rasa saya di antara rakyat yang ada kesedaran dan bukan sebab sesiapa pun.

"Saya rasa apa yang dinyatakan (tindakan PAS) itu untuk kepimpinan atasan (bukan untuk ahli biasa), sebab saya ahli biasa saja dan saya tak rasa pun keahlian saya sah (valid) lagi," kata Abby yang dihubungi Malaysiakini.

Kata Abby lagi, beliau telah lama menyepikan diri dan tidak bergiat aktif dalam parti yang memperjuangkan Islam itu selepas ketiadaan Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz.

"Saya kurang aktif selepas ketiadaan Almarhum Tok Guru Nik Aziz kerana semasa keberadaan Tok Guru saya nampak amat jelas perjuangan beliau untuk rakyat dan menentang kezaliman tetapi selepas itu (kematian Nik Aziz) saya memang menyepikan diri dan kurang ikut program PAS," ujar Abby.

Malah, diminta mengulas kenyataan anggota Parlimen Marang yang mendakwa BERSIH rugikan rakyat, Abby berkata, beliau hormat pendirian Abdul Hadi.

"Saya hormati (pendirian Hadi) dan kita faham ulamak pewaris Nabi S.A.W tetapi dalam satu sudut saya masih pegang kata-kata Nik Aziz sebab Tok Guru kata untuk kemaslahatan umat tidak ada salahnya pun kita berdemo secara aman.

"Memang ada khilaf antara ulama tetapi saya pegang kata-kata Tok Guru. Begitu juga dengan pandangan Dr Maza (Datuk Dr Asri Zainul Abidin) yang berkata ramai lagi alim ulama yang tidak menidakkan demonstrasi ini.

"Apa pun saya hormati pendirian Tok Guru Abdul Hadi dan terpulang kepada beliau tetapi saya turun atas kesedaran saya sebagai rakyat Malaysia," tegas Abby.

Selain Lutfi, Abby Abadi dan Mohd Nasir, ahli-ahli PAS lain yang hadir pada perhimpunan Sabtu lalu ialah bekas naib presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, ADUN Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad, anggota Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Mazian Nik Mohamad, anggota Parlimen Kubang Kerian Ahmad Baihaqi Atiqullah dan ADUN Anak Bukit Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Sebelum ini, anggota Majlis Syura PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, walaupun tidak menyokong secara rasmi BERSIH5, parti itu tidak menghalang anggotanya menyertai himpunan berkenaan.

Lihat Komen
ADS