Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saya pun malu, kata Ibrahim Ali pada Zam
Diterbitkan:  Nov 23, 2016 11:38 AM
Dikemaskini: 10:19 AM

DAP mungkin bukan penyebab utama Datuk Ibrahim Ali enggan menyertai Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (BERSATU), walaupun berkawan dengan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas menteri Umno Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, Ibrahim secara peribadi memberitahunya bahawa “pokok utamanya” kerana Mahathir berkawan semula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu menggulingkannya dahulu.

"Saya malu Zam," kata Ibrahim, yang dipetik oleh Zainuddin dalam blog beliau hari ini, merujuk perseteruan politik Mahathir-Anwar 18 tahun lalu.

Zainuddin yang lebih dikenali sebagai Zam juga berkata Ibrahim diketahui umum sebagai orang yang menyelamatkan Mahathir yang “keruncingan” dan berdepan cabaran besar dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno untuk memecat Anwar.

“Saya juga telah memberitahu Perhimpunan Agung PERKASA dalam ucapan perasmian mesyuaratnya bahawa Ibrahim Ali tidak lagi sesuai di panggil katak kerana telah ramai pemimpin politik yang menjadi katak tetapi gelaran baru yang lebih tepat kepadanya ialah belut politik,” katanya.

Sementara itu, Zainuddin juga berkata beliau telah memberitahu Perhimpunan Agung PERKASA sebelum ini bahawa DAP adalah alternatif untuk kerjasama politik dengan Melayu.

Katanya, MCA dan MIC sekarang tidak lagi mewakili orang bukan Melayu tetapi DAP secara demokratik telah mengambil alih peranan mereka.

“Saya memberitahu bahwa bagi pertama kalinya dalam sejarah, sekarang rakyat Malaysia melampaui batas agama dan bangsa bersatu dalam satu perasaan dan cita-cita untuk menolak sebuah kerajaan yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Sementara itu, Ibrahim dalam sidang media di ibu pejabat PERKASA, Kuala Lumpur hari ini berkata tulisan Zainuddin yang mendakwa beliau enggan bersama Mahathir kerana berbaik semula dengan Anwar sebagai tidak tepat.

"Supaya tiada salah faham, memang perkara pokok adalah DAP.

“Blog Zam tidak tepat, tetapi dia kata biarlah kontroversi sedikit," katanya.

Namun, Ibrahim mengakui dirinya tetap kurang senang dengan Anwar kerana beranggapan beliau tidak boleh dijadikan pemimpin.

"Kita tahu Anwar buat perkara yang dihukum di mahkamah, dia tidak boleh jadi pemimpin tetapi Pakatan Harapan telah buat keputusan yang Anwar tetap calon perdana menteri mereka," katanya.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar atas kesalahan meliwat bekas pembantunya.


Dr Mahathir: Saya malu Ibrahim Ali kawan saya

Lihat Komen
ADS