Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Biar dikecam, Tok Him tetap cium tangan Mahathir

Tun Dr Mahathir mengaku secara terbuka beliau malu mengaku Datuk Ibrahim Ali sebagai kawannya namun orang kuat PERKASA berkenaan tetap menghormati bekas perdana menteri selama 22 tahun itu.

Malah Ibrahim juga berjanji untuk kekal dengan sikapnya terhadap Dr Mahathir sebelum ini.

"Tak apalah, saya tak kisah. Saya akan tetap anggap Tun bukan saja sebagai kawan (tetapi) negarawan terbilang. Saya tetap akan hormat beliau.

"Saya tetap hormat dan akan cium tangan Tun walaupun dia bawa lari (elakkan) tangan dia.

"Hormat tetap hormat, sayang tetap sayang. Saya bukan macam orang lain," luahnya pada sidang media di ibu pejabat PERKASA di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Dr Mahathir berkata beliau malu menyatakan Ibrahim adalah kawannya.

“Saya malu, dia kawan saya tapi tak mahu masuk BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) pasal kita berkawan dengan DAP," katanya di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

Menurut Dr Mahathir Ibrahim perlu melihat perbandingan antara DAP dan MCA walaupun menganggap parti pembangkang berkenaan - yang kini bersahabat dengan BERSATU - sebagai "jahat".

Katanya, DAP secara terbuka mengisytiharkan mereka menghormati perlembagaan, kedudukan raja-raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi negara dan sebagainya.

"Adakah MCA atau MIC pernah melakukan perkara yang sama?" soalnya.

Ibrahim selama ini dikenali sebagai tokoh yang begitu menghormati Dr Mahathir dan langkah politiknya selalu sehaluan dengan tokoh berkenaan.

Ketika Umno dipimpin Tun Abdullah Ahmad Badawi dan diserang Dr Mahathir, Ibrahim turut mengambil pendekatan sama, malah berkawan dengan pembangkang serta bertanding - dan menang - dalam pilihan raya umum 2008.

'Sotong laut' gemar bantai

Bagaimanapun hubungan mereka menjadi renggang selepas Dr Mahathir berkawan dengan DAP, termasuk Lim Kit Siang yang pernah menjadi seteru ketatnya.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata beliau memang penyokong kuat Dr Mahathir, sama seperti menjadi penyokong kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika zaman belajarnya dahulu.

Namun kata bekas anggota parlimen Pasir Mas itu, ia tidak bermaksud beliau mesti sentiasa bersetuju dengan Dr Mahathir.

Mengenai pembabitan bersama BERSATU Ibrahim berkata pendiriannya dimaklumkan kepada Dr Mahathir dan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ia ditubuhkan lagi.

Alasan Ibrahim beliau tidak akan bersama-sama BERSATU jika parti itu bekerjasama dengan DAP.

"Saya tidak boleh sertai 'kapal' yang turut dinaiki musuh," katanya sambil menjelaskan sebab utama beliau menolak DAP ialah keana parti itu didakwanya sering mempersoalkan kedudukan bumiputera dan Islam di Malaysia.

"Sepatutnya mereka berterima kasih saya tidak sertai BERSATU. Jika saya masuk dan dapati ada agenda reformasi dan kerjasama DAP yang tidak boleh diterima, akhirnya saya mendatangkan masalah kepada mereka," katanya lagi.

Sementara itu, Ibrahim menggelar seorang lagi pengkritiknya sebagai "sotong laut".

Mengecam Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Ibrahim mempertikaikan siapakah bekas naib ketua Umno Batu Kawan dan pernah menganggotai BERSATU itu.

“Satu orang saya nak namakan di sini, (sebagai) sotong laut. Suka sangat bantai (kecam) saya. Siapa dia ni? Dulu bekas kaib ketua Umno Batu Kawan, Pulau Pinang. Allah…besarnya jawatan.

“Siapa dia ni. Dia (Khairuddin) siapa? Dia mewakili apa? Saya ini Presiden PERKASA, ahli pun ramai. (Dia) buat kenyataan bantai saya, kata Ibrahim Ali sudah tak relevan lagi. Macamlah dia itu relevan sangat,” kata Ibrahim sambil tertawa nakal dan sinis.

Beliau berkata, Khairuddin yang juga penyokong tegar Dr Mahathir tidak perlu mengutuknya keterlaluan kerana mereka dibezakan oleh tempoh serta bentuk perjuangan yang ketara.

“(Khairuddin) setakat masuk Sosma lima hari, itu perkara biasa. Saya lebih lagi. Saya dulu (dikenakan ISA) dua tahun.

"Lokap mana, semua saya masuk, disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri. Perjuangan saya Allah saja yang tahu,” katanya.

Lihat Komen
ADS