Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sesetengah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) didakwa kononnya mahu memperjuangkan hak asasi manusia dan menambah baik sistem kerajaan, tetapi sebenarnya membawa agenda bertentangan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Kata Khalid gerakan reformasi pilihan raya BERSIH dan kumpulan Baju Merah adalah "contoh yang sangat ketara" untuk menjelaskan kenyataan berkenaan.

"Agak biasa untuk kita melihat aktiviti NGO tertentu mengancam ketenteraman awam sedia ada dan melemahkan kredibiliti kerajaan.

"NGO ini dikawal pemimpin parti politik dan individu anti-establishment dengan berselindung di sebalik agenda memperjuangkan reformasi dalam kerajaan dan isu hak asasi manusia," katanya semasa menyampaikan syarahan berkenaan keselamatan negara di Universiti Islam Antarabangsa di Gombak hari ini.

Dalam ucapan yang menyentuh pelbagai isu itu Khalid turut membangkitkan isu jenayah siber, pelampau politik dan agama, pengedaran dadah dan keganasan.

Katanya pelbagai usaha sudah dibuat untuk mempromosi identiti kebangsaan.

Namun kata Khalid identiti kebangsaan itu bukan bermakna "kesamaan" tetapi ke arah persefahaman antara kumpulan berbeza sambil mengekalkan keunikan masing-masing.

Dalam ucapannya beliau turut mengumumkan indeks jenayah negara menurun 1.7 peratus sehingga minggu lalu berbanding tempoh sama tahun lalu.

Namun jenayah jalanan seperti ragut dan rompakan meningkat kira-kira 20 peratus.

Nota pengarang: Versi awal berita ini memetik Khalid merujuk kepada BERSIH dan PERKASA. Bahagian Komunikasi Korporat PDRM kemudian membuat penjelasan ketua polis negara sebenarnya merujuk kenyataan beliau kepada kumpulan Baju Merah tetapi tersilap apabila merujuk kepada PERKASA. Pembetulan telah dibuat berdasarkan penjelasan tersebut.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS