Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan Pahang tunggu kelulusan JPJ untuk nombor pendaftaran 'VIP'
Diterbitkan:  Nov 24, 2016 3:42 PM
Dikemaskini: 7:45 AM

DUN PAHANG Kerajaan negeri Pahang masih menunggu kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berhubung penggunaan nombor pendaftaran VIP bersempena Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP2017).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata proses penjualan tidak boleh dimulakan sehinggalah penggunaan nombor pendaftaran istimewa itu diwartakan pihak berkuasa.

"Bila selesai proses mewartakan, kita akan mengadakan sistem membida. Siapa (membida) paling tinggi, dia akan mendapat nombor tersebut. Hasil penjualan itu akan membantu dalam mempromosi dan menjayakan TMP2017," katanya.

Mohd Sharkar berkata demikian di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini, bagi menjawab soalan Lee Chean Chung (PKR-Semambu) yang ingin tahu status terkini permohonan nombor pendaftaran itu.

Berhubung jumlah dana yang akan diperoleh daripada penjualan nombor pendaftaran itu, Mohd Sharkar berkata perkara itu hanya boleh diketahui selepas proses penjualan tamat pada 31 Disember 2017.

"Ini adalah inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan untuk menjana pendapatan bagi menjayakan TMP2017 dengan meminimumkan penggunaan duit rakyat dan kita bernasib baik kerana dapat memikirkan cara ini bagi menyokong TMP2017," katanya.

Kerajaan Persekutuan juga membantu promosi TMP2017 di pejabat Tourism Malaysia seluruh dunia manakala Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) membantu menghasilkan video berkaitan yang akan ditayangkan dalam masa terdekat, katanya.

Sementara itu, Mohd Sharkar semasa menjawab soalan Datuk Mohamed Arifin Awang (BN-Chenor) bagi pihak Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob memaklumkan setakat ini, sebanyak 923,694 hektar tanah telah dimajukan sebagai Ladang Sejahtera oleh Felcra Berhad Pahang.

Katanya ladang itu terletak di Lipis yang melibatkan penanaman pokok getah manakala ladang di Rompin dan Kuantan melibatkan kelapa sawit.

Agihan wang zakat

Sementara itu, dewan juga diberitahu bahawa Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah mengagihkan RM107.51 juta zakat walaupun mengutip sebanyak RM102.35 juta zakat, setakat Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata Pusat Kutipan Zakat Pahang yang merupakan anak syarikat penuh MUIP bagi urusan kutipan zakat harta pula telah mengutip RM869.74 juta dalam tempoh 15 tahun sejak tahun 2000.

Beliau menjawab soalan Tengku Zulpuri Shah Raja Puri (DAP-Mentakab) yang ingin tahu jumlah kutipan zakat.

Syed Ibrahim berkata MUIP juga ada menjalankan kursus kemahiran atau memberi bantuan kepada golongan asnaf yang layak seperti mualaf yang berhasrat meluaskan pengetahuan mereka bagi menambah pendapatan.

"Jika ada golongan asnaf atau diketahui wujud mereka yang boleh dibantu dari segi kursus pendidikan atau kemahiran, mereka boleh menghubungi MUIP bagi mengaturkan program," katanya semasa menjawab soalan Datuk Seri Maznah Mazlan (BN-Muadzam Shah) yang mencadangkan supaya golongan asnaf atau waris mereka diberi peluang untuk menggunakan wang zakat bagi menambah kemahiran supaya mereka boleh keluar daripada kemiskinan.

Koperasi Bela Rakyat

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Datuk Seri Shahiruddin Abd Moin berkata hanya 16 daripada 42 DUN di Pahang yang berdaftar dengan Koperasi Bela Rakyat (Kobera) sejak tahun 2009.

Beliau menjelaskan pendapatan koperasi ini bergantung kepada pelbagai aktiviti atas budi bicara anggota iaitu sama ada perniagaan, pertanian, penternakan, pemasaran atau jualan dan pengedaran barangan pengguna.

"Kita amat mengalu-alukan penubuhan Kobera kepada terdapat pelbagai bantuan diberi dan baru-baru ini, ada koperasi yang terlibat aktif dalam penghasilan madu kelulut dalam bentuk madu, kapsul dan cecair semburan.

"Kerajaan negeri telah memasarkan dan menandatangani perjanjian persefahaman dengan kerajaan Oman untuk memasarkan madu kelulut di negara itu. Ini peluang kepada koperasi lain untuk berkongsi pengalaman," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS