Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

PERKASA hari ini mengumumkan barisan kepimpinan anggota Dewan Tertinggi NGO pendesak Melayu itu sehingga 2019.

Antara ahli dewan tertinggi yang mengekalkan jawatan sebagai Yang Dipertua PERKASA negeri ialah bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said.

Ahmad mula menyertai PERKASA pada Jun tahun ini dan beliau kemudian dilantik menjadi Yang Dipertua PERKASA negeri Terengganu.

Selain itu, Datuk Ibrahim Ali kekal menjadi presiden dan Datuk Sirajuddin Salleh pula dipilih menjadi timbalan presiden.

Seramai lima orang naib presiden pula dipilih iaitu Syed Osman Syed Mansor, Datuk Masood Zainal Abidin, Datuk Ruhanie Ahmad, Hassan Basri Muhammad dan Abdul Hamid Harun.

"Kepada YDP yang lama, yang pimpinan penggal dulu, saya ingin rakamkan setinggi terima kasih di atas khidmat dan perjuangan yang disumbangkan dalam menggalas pimpinan PERKASA," kata Ibrahim pada sidang medianya di ibu negara hari ini.

Kesemua mereka dipilih semasa pemilihan yang dibuat pada Persidangan Agung Tahunan Ke-7 PERKASA 2016 Ahad lalu.

PERKASA juga mempunyai Ketua Wira, Wiranita dan Wirawati yang baru serta mempunyai biro yang baru ditubuhkan iaitu biro hal tanah rizab Melayu, tanah adat Sabah, Sarawak.

Biro baru berkenaan akan memfokuskan tentang perkara berkaitan tanah rizab Melayu yang semakin berkurangan di negara ini, kata Ibrahim lagi.

Lihat Komen
ADS