Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Jamal anggap Abang Kucing tak sama standard
Diterbitkan:  Nov 29, 2016 9:20 PM
Dikemaskini: 1:40 PM

Di mata Datuk Seri Jamal Md Yunos, Abang Kucing bukanlah tandingan yang setara untuk ketua kumpulan Baju Merah itu.

Justeru Jamal berkata dia enggan memberikan sebarang komen terhadap cabaran Abang Kucing untuk beradu tenaga di dalam gelanggang.

Kata Jamal, sesiapa saja boleh membuat cabaran untuk bertarung dengannya namun dia mempunyai pandangan sendiri mengenainya.

"Saya tak ada komen. Sesiapa pun boleh buat cabaran tetapi bukanlah standard saya untuk itu," katanya kepada media hari ini.

Pada 27 November lalu Malaysiakini melaporkan sekumpulan lelaki menggelar diri mereka Gabungan Pejuang Rakyat Demi Negara mencabar Jamal dan orang kanannya untuk bertarung dalam gelanggang.

Jurucakap kumpulan itu Sharul Nizam Abdul Rahim berkata tujuan utama mereka membuat cabaran itu adalah untuk menegaskan pendirian mereka terhadap aktiviti membuli.

Katanya awal bulan ini dia pernah melontarkan cabaran kepada Jamal tetapi sehingga kini tidak ada reaksi daripada ketua Umno Sungai Besar itu.

Cabaran sama, katanya, dibuat kepada orang kanan Jamal, Razali Zakaria.

Jamal sebelum ini aktif menggerakkan kumpulan Baju Merah mengekori konvoi BERSIH menjelang perhimpunan BERSIH5 di Kuala Lumpur pada 19 November lalu.

Beberapa insiden kekasaran tercetus membabitkan pengikutnya dan penyokong BERSIH.

Ada antara insiden itu malah melibatkan kekasaran kepada wartawan dan jurugambar.

Jamal turut diingati kerana memberi pelbagai amaran dan ancaman termasuk terhadap Malaysiakini.

Sebelum BERSIH5 berlangsung Jamal dan beberapa penyokongnya memuat naik klip video menunjukkan kehebatan mereka bersilat serta menahan pukulan kayu serta pedang dengan badan sendiri.

Sehubungan itu, Sharul Nizam atas nama Abang Kucing Antibuli mencabar Jamal bertarung malah memberi kebebasan kepada memilih jenis seni bela diri yang akan digunakan, sama ada silat, tinju, tae kwan do atau sebagainya.

Bagaimanapun Jamal berkata, terpulang kepada kumpulan tersebut untuk mencabar sesiapa.

"Saya tak kenal pun mereka," katanya.

Lihat Komen
ADS