Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyelar pertuduhan yang disabitkan terhadap empat siswa Universiti Malaya (Malaya4).

Tiga orang mahasiswa iaitu Anis Syafiqah Md Yusof, Mohamad Luqman Nul Haqim dan Muhammad Luqman Hakim Fazli masing-masing disabitkan dengan empat pertuduhan manakala Suhail Wan Azahar dikenakan dua pertuduhan.

Kesemua mereka dituduh di bawah peruntukan Seksyen 16B Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (Auku).

Ini merupakan lanjutan siri kezaliman dan penafian hak terhadap mahasiswa selepas baru-baru ini menyaksikan Asheeq Ali, mahasiwa UKM digantung pengajian selama satu semester.

PKPIM melihat tindakan pihak Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya sebagai tidak demokratik dengan tidak meraikan budaya kritis yang sepatutnya membugar dalam kalangan mahasiswa di universiti.

Tindakan ini juga jelas menafikan hak mahasiswa sebagai rakyat bagi menyuarakan kritikan secara terbuka terhadap ketirisan yang berlaku dalam negara seperti mana termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan bersuara.

PKPIM khuatir wujudnya tekanan dan campur tangan pihak ketiga hingga menyebabkan pihak universiti didesak untuk mengambil tindakan kepada pelajar terlibat demi menjaga sensitiviti individu berprofil tinggi yang dikaitkan dengan skandal Malaysian Official One dan skandal penyelewengan 1MDB.

PKPIM juga bimbang tindakan sebegini bakal berterusan bagi melengkapkan usaha pendoktrinan "culture of fear" di kalangan mahasiswa.

Budaya takut adalah projek orang politik untuk mendapatkan dukungan dengan menakut-nakutkan mahasiswa bagi mengecilkan serta mengkerdilkan keupayaan sebenar menjadi generasi terdidik yang punyai keupayaan mencorak perubahan negara.

PKPIM juga melihat seksyen 16B Auku yang memperuntukkan Naib Canselor sebagai pihak berkuasa tatatertib universiti adalah meragukan kerana tribunal yang dilantik mempunyai kaitan secara langsung dengan pihak pendakwa (HEP) dan ini dibimbangi boleh dipengaruhi pendakwa.

Justeru PKPIM menuntut HEP Universiti Malaya menghormati hak kebebasan bersuara dan menggugurkan pertuduhan yang dikenakan ke atas keempat-empat aktivis mahasiswa berkenaan.


MUHAMMAD KHAIR BIN SUJUD ialah presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
sesi 2016/2017

Lihat Komen
ADS