Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perwakilan PAU2016: Kami warga Felda bukan tikus makmal

Masalah-masalah warga Felda mendapat perhatian dalam Perhimpunan Agung Umno di ibu negara hari ini.

Ia dibangkitkan perwakilan Pahang, negeri kelahiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terdapat banyak kawasan Felda.

Berucap ketika membahaskan ucapan dasar presiden Umno, Timbalan Ketua Umno Maran Datuk Shahaniza Shamsuddin membangkitkan pelbagai masalah warga Felda, terutamanya isu perumahan generasi kedua dan himpitan kos sara hidup.

Beliau juga membangkitkan masalah penangguhan pembayaran pembelian sawit kepada peneroka.

"Kerana kami warga Felda bukanlah tikus makmal yang boleh dijadikan bahan uji kaji.

"Masalah di Felda mestilah diselesaikan segera.

“Yang paling mustahak diselesaikan, isu pembelian buah kelapa sawit yang mana pembayarannya sering di tangguhkan sehingga tiga ke empat minggu," kata Shahaniza.

Untuk itu, pemimpin wanita akar umbi itu juga menyeru Felda mencari ikhtiar bagi membaiki aliran tunainya.

"Carilah, baiki aliran tunai supaya pembayaran pembelian buah sawit boleh dibuat serta merta.

“Selain daripada isu tersebut hendaklah diselesaikan juga isu penyata hutang tanam semula dan sara hidup Felda Technoplan yang membebankan dan tidak dikemas kini," kata Shahaniza.

Pemerintahan BN boleh berakhir

Shahaniza berkata, beliau bimbang undi protes akan berlaku pada pilihan raya umum ke-14 akan datang jika hal-hal yang berbangkit tidak diambil tindakan segera.

"Jika diandaikan pembangkang mampu menambah 23 kerusi parlimen di kawasan Felda maka berakhirlah era pemerintahan BN yang ditunjangi Umno.

"Kami di Pahang ada 12 kerusi Parlimen yang dalamnya kawasan Felda, 10 BN menang dan tewas 2 kerusi manakala di peringkat DUN BN memenangi 27 kerusi manakala 4 kerusi jatuh ke tangan pembangkang," kata Shahaniza.

Tambah Shahaniza, pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin pada 2015, dua pusat daerah mengundi di kawasan Felda hilang dari genggaman BN.

Katanya, ini menunjukkan kawasan Felda kini bukan lagi benteng pertahanan yang ampuh untuk orang Melayu.

Perbahasan bersambung esok.

Lihat Komen
ADS