Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Puluhan ribu umat Islam berkumpul bantah Ahok
Diterbitkan:  Dec 2, 2016 12:26 PM
Dikemaskini: 8:55 AM

GLOBAL l Puluhan ribu umat Islam yang berpakaian serba putih sedang menuju ke sebuah tamah di Jakarta bagi menuntut penangkapan gabenor di ibu negara itu, seorang Kristian yang dituduh menghina Al-Quran.

Dijangkakan tidak kurang 100,000 rakyat Indonesia akan menyertai perhimpunan itu.

Reuters yang memetik agensi berita nasional Indonesia, Antara berkata 22,000 anggota polis dikerahkan untuk memastikan keganasan yang tercetus semasa protes oleh pelampau Islam bulan lalu yang menyaksikan lebih 100 orang cedera dalam pertempuran dengan polis tidak berulang.

Kumpulan Islam itu menuduh Gabenor Basuki Tjahaja Purnama menghina Al-Quran, walaupun mereka berjanji bahawa demonstrasi hari ini adalah aman.

Purnama, yang lebih dikenali sebagai Ahok, akan bertanding semula pada bulan Februari ini dan berdepan dengan dua calon Islam.

Pertandingan merebut jawatan gabenor semakin tegang dan spekulasi bertiup kencang ia adalah plot untuk melemahkan Presiden Joko Widodo dan membantutkan peluangnya untuk memenangi penggal kedua pada 2019.

Widodo, sekutu lama Purnama, menyalahkan "pelakon politik" yang cuba mengambil kesempatan daripada keberangan umat Islam terhadap Purnama demi kepentingan diri mereka sendiri.

Pihak polis juga memberi amaran terhadap percubaan untuk menjejaskan kestabilan kerajaan.

Media tempatan berkata lapan orang ditahan atas dakwaan pengkhianatan. Pegawai polis tidak dapat dihubungi untuk mengulas mengenai laporan itu dan Widodo enggan mengulas apabila ditanya oleh pemberita.

Penunjuk perasaan dilaporkan mula bergerak dari masjid Istiqlal ke arah Tugu Negara di pusat bandar pada sekitar jam 5 pagi selepas solat subuh.

"Kami jangkakan lebih 100,000 peserta," kata jurucakap polis Jakarta Argo Yuwono.

"Terdapat keselamatan yang cukup, jadi orang ramai tidak perlu bimbang. Kami berharap segala-galanya akan diteruskan mengikut perjanjian dengan penunjuk perasaan."

Indonesia mempunyai penduduk Islam terbesar di dunia tetapi mengiktiraf enam agama dan dihuni oleh puluhan kumpulan etnik, sestengah mereka mengikuti kepercayaan tradisional.

Purnama, yang berbangsa Cina dan beragama Kristian sedang disiasat berhubung komen mengenai lawannya yang menggunakan 'al-Quran ketika berkempen. Beliau menafikan sebarang salah laku tetapi memohon maaf berhubung kenyataannya itu.

Polis semalam, menyerahkan kertas siasatan kepada pendakwa raya, yang dijangka akan membawa kes berkenaan ke mahkamah pada minggu-minggu akan datang.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS