Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jenazah ibu Menteri Multimedia dan Komunikasi selamat disemadi
Diterbitkan:  Dec 2, 2016 1:25 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Jenazah Toh Puan Hajah Bandong Hasbollah, ibu kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Salleh Said Keruak, selamat dikebumi di Kota Belud tengah hari ini.

Jenazah Allahyarham disemadikan kira-kira 12.30 tengah hari di Tanah Perkuburan Orang Islam Kampung Siasai/Tombol.

Jenazah tiba di Masjid Jamek Kampung Siasai/Tombol pada pukul 11.28 pagi untuk disembahyangkan selepas dimandikan di kediaman Salleh di Kampung Likas, Kota Kinabalu, kira-kira 75km dari Kota Belud.

Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Sabah Datuk Johnson Tee dan Pemangku Pengarah Penerangan Negeri Yunus Saprin.

Allahyarham Bandong, 85, meninggal kira-kira jam 6.55 pagi di Hospital KPJ di Kota Belud kerana sakit tua.

Menurut cucu Allahyarham, Syarulnizam Salleh, semasa neneknya menghembuskan nafas terakhir, semua anak, termasuk Salleh, dan cucu Allahyarham berada di sisi.

Salleh, yang sedang menghadiri Perhimpunan Agung Umno di ibu negara, bergegas kembali ke Kota Kinabalu semalam sebaik selesai majlis perasmian perhimpunan agung itu.

Bandong merupakan isteri Yang Dipertua Negeri Sabah ketujuh, Tun Mohd Said Keruak yang meninggal dunia pada 1995.

Allahyarham meninggalkan lima anak dan 12 cucu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS