Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Perwakilan: Umno perlu 6P, 3P, 3W untuk menang PRU 14
Diterbitkan:  Dec 2, 2016 1:51 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

Penggunaan singkatan formula kemenangan seperti 6P, 3P dan 3W menjadi pilihan perwakilan mengetengahkan idea bagaimana Umno boleh mencatur strategi pada pilihan raya umum akan datang.

Berucap dalam perbahasan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2016 hari ini, wakil Kelantan Mohd Syahbuddin Hashim membawa formula 6P iaitu percambahan minda; pembela rakyat; pilihan raya; pertahankan Umno; pemimpin dan presiden dalam memastikan parti itu dapat mengharungi pelbagai cabaran untuk terus kekal berkuasa.

Beliau berkata penglibatan generasi muda dalam percambahan minda dan pandangan bagi merangka hala tuju negara mampu mendekatkan golongan berkenaan dengan Umno, seterusnya menjadikan parti itu kekal relevan untuk semua lapisan.

Katanya Umno perlu menjadi pembela rakyat bukan hanya di negara ini malah memperjuangkan isu-isu melibatkan kepentingan ummah seperti penindasan etnik Rohingya di Myanmar ketika ini.

"Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) diramal menjadi pilihan raya paling sengit dalam sejarah Umno dan bakal menentukan kelangsungan parti ini dan ini menuntut keluarga besar Umno untuk pertahankan parti dengan kesetiaan dan kejujuran," kata Mohd Syahbuddin.

Wakil Selangor, Budiman Mohd Zohdi berkongsi formula 3P - perpaduan, pertelingkahan lawan dan penjenamaan calon sebagai panduan gerak kerja dalam memenangi PRU14.

Naib Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata formula perpaduan dalam parti dan komponen lain untuk bekerja sebagai satu pasukan dengan berpandukan kepada satu arahan, sangat penting untuk mencorak gerak kerja BN.

Budiman, yang juga Anggota Parlimen Sungai Besar, berkata pertelingkahan dalam parti lawan menjadi antara faktor kemenangan besar BN dengan majoriti 9,191 undi pada pilihan raya kecil Sungai Besar, Jun lepas.

Di samping itu, penjenamaan calon perlu dititikberatkan dengan menyediakan calon yang memenuhi kehendak rakyat dengan konsep 3D iaitu dikenali, disukai dan diundi, katanya.

Wakil Pemuda Umno, Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaluddin menggariskan 3W iaitu 'winning mentality', 'winning strategy' dan 'winning move' dalam gerak kerja bagi meraih undi rakyat khususnya golongan muda.

Beliau berkata jentera Umno perlu menyemai semangat kemenangan dalam diri dan tidak mudah menyerah kalah sekalipun berdepan cabaran parti lawan.

"Namun, semangat dan kemahuan untuk menang sahaja tidak cukup, kita kena tahu bagaimana cara untuk menang iaitu dengan menabur khidmat bakti dan mendengar suara anak muda," katanya.

Mua'amar Ghadafi Jamal, yang juga presiden Majlis Belia Malaysia, berkata usaha meraih undi anak muda penting memandangkan 46.6 peratus atau lebih lima juta pengundi bagi PRU14 merupakan golongan muda.

Sementara itu, wakil Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor mencadangkan kaedah 'semak' iaitu menyemak daftar pengundi dan mengenali mengundi dengan lebih dekat.

"Kita (Umno dan BN) perlu kenali hati budi mereka, dekati mereka dengan lebih agresif, baki masa yang ada mesti diguna secara efektif," kata Naib Ketua Umno Jempol.

Mustapha, yang juga pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Negeri Sembilan, berkata pemimpin juga perlu menyemak semula, semua janji yang ditaburkan kepada rakyat.

"Kita perlu semak semula janji-janji lama. Kalau kita dah buat kita perlu beritahu dan sekiranya belum, kita perlu senaraikan sebab dan kenapa janji itu tidak dapat ditunaikan supaya mereka tidak keliru," katanya.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS