Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saifuddin tunjuk lagak orang kecewa, kata Zahid

Dakwaan Datuk Saifuddin Abdullah mengenai ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mencerminkan kegagalan beliau menterjemahkan tanggungjawabnya ketika berada dalam Umno sebelum ini, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Malah, naib presiden Umno itu berkata, perdana menteri itu tidak langsung menyentuh soal pembahagian politik negara secara perkauman.

Sebaliknya, Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri menegaskan ucapan Najib semalam sekadar memperbandingkan bagaimana kesatuan harus diwujudkan dari pelbagai kaum.

"Orang yang mengatakan begitu sebenarnya apabila diberikan peluang dan tanggungjawab ketika masih berada dalam Umno tidak dapat menterjemahkan kebertanggungjawabannya.

"Tidak ada pembahagian politik negara secara perkauman yang disentuh oleh presiden tetapi ia cuma memperbandingkan bagaimana kesatuan harus diwujudkan dari pelbagai kaum,' kata Zahid dalam sidang media selepas sesi perbahasan ucapan dasar perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2016 di PWTC, hari ini.

Kata anggota Parlimen Bagan Datoh itu lagi, apa yang dinyatakan oleh bekas menteri Umno itu adalah analisis sempit bersandarkan kekecewaannya.

"Mudah untuk memberikan pandangan-pandangan yang entogenistik tetapi saya yakin pandangan itu hanya sebuah analisis politik sempit yang bersandarkan kekecewaan seseorang itu dan saya fikir bahawa eloklah beliau muhasabah diri daripada memberikan balingan pandangan kepada orang lain,' kata Zahid.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Datuk Saifuddin Abdullah yang mendakwa Najib melakukan kesilapan besar dalam ucapannya di perhimpunan agung Umno (PAU) 2016.

Ucapan itu, kata Saufuddin yang kini ketua setiausaha sekretariat Pakatan Harapan, mungkin boleh mengundang bencana perkauman di negara ini.

"Ia kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang perdana menteri," kata Saifuddin dalam kenyataan hari ini.

Lihat Komen
ADS