Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bank Negara umum langkah perluas liberalisasi pasaran kewangan
Diterbitkan:  Dec 2, 2016 7:55 PM
Dikemaskini: 11:57 AM

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memperkenalkan beberapa langkah bagi meningkatkan kecairan pasaran tukaran asing berkuatkuasa 5 Disember ini.

Bercakap pada taklimat media di ibunegara hari ini, Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata langkah bertujuan memperluaskan pasaran kewangan Malaysia itu antaranya membolehkan pemastautin, termasuk kalangan pengurus dana berstatus pemastautin untuk bebas dan secara aktif melindung nilai mata wang dolar US dan renminbi China.

Bagaimanapun, pendedahan itu hanya terhad kepada RM6 juta setiap pelanggan dan setiap bank dengan perisytiharan sekali tiada pembabitan dalam aktiviti spekulatif.

Kalangan pemastautin dan pengurus dana bukan pemastautin kini boleh secara aktif menguruskan pendedahan tukaran asing sehingga 25 peratus daripada jumlah pelaburan aset.

Jelasnya, bagi mempertingkatkan akses pelabur asing dan korporat terhadap tukaran asing di pasaran dalam pesisir, institusi kewangan luar pesisir bukan pemastautin boleh mengambil bahagian dalam kerangka Pejabat Lantikan Luar Negara yang diberi kelonggaran tambahan bagi transaksi ringgit.

"Kelonggaran ini termasuk (tindakan) melindung nilai tukaran asing (akaun sendiri/bagi pihak pelanggan) untuk akaun semasa dan kewangan berdasarkan komitmen, pembukaan akaun ringgit (simpan kira) dan lanjutan pembiayaan dagangan ringgit," katanya.

Menurut Adnan Zaylani, sejajar usaha memudahkan pelaburan dalam aset tukaran asing, pemastautin yang memiliki pinjaman ringgit domestik, bebas untuk melabur dalam aset tukaran asing di dalam pesisir dan luar negara pada had RM50 juta untuk korporat dan RM1 juta bagi individu.

"Pemastautin tanpa pinjaman ringgit domestik sebaliknya boleh terus menikmati kelonggaran pelaburan dalam aset tukaran asing di dalam pesisir dan luar negara membabitkan sebarang jumlah.

"Ini memberi layanan sama rata kepada pemastautin dengan pinjaman ringgit domestik untuk melabur dalam aset tukaran asing di pasaran dalam atau luar pesisir," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kalangan pengeskport kini boleh mengekalkan sehingga 25 peratus hasil eksport dalam mata wang asing berbanding 100 peratus, sebelum ini.

"Mereka boleh memegang baki lebih tinggi dengan kelulusan BNM untuk memenuhi tanggungan obligasi dalam tukaran asing," katanya.

Malah, kata Adnan Zaylani, sebarang pembayaran oleh pengeksport pemastautin bagi tujuan penyelesaian dagangan barangan dan perkhidmatan domestik, kini perlu dibuat sepenuhnya dalam ringgit.

Kesemua hasil eksport dalam ringgit juga boleh menikmati kadar pulangan lebih tinggi menerusi satu kemudahan deposit khas.

Kemudahan berkenaan akan ditawarkan kepada pengeksport menerusi semua bank-bank komersial pada kadar 3.25 peratus setahun.

Bagaimanapun, kemudahan yang akan ditawarkan sehingga 31 Disember 2017 itu tertakluk kepada semakan selanjutnya.

Mata wang asing yang diperolehi daripada pertukaran hasil eksport akan digunakan bagi memastikan kecairan berterusan tukaran asing di pasaran dalam pesisir.

Sebagai tambahan kepada langkah lindung nilai yang diumumkan itu, para pengeksport juga dapat melindung nilai atau sebaliknya sehingga tempoh enam bulan daripada tanggungan obligasi mata wang asing mereka.

Langkah-langkah ini bertujuan menggalakkan pasaran tukaran asing dalam pesisir yang lebih terperinci, telus dan mantap bagi kemudahan pelabur dan penggiat pasaran menguruskan risiko pasaran secara berkesan dengan kelonggaran lebih ketara untuk melindung nilai di pasaran berkenaan.

"Pasaran tukaran asing dalam pesisir yang lebih terperinci dan (memiliki) kecairan akan membolehkan para pelabur melaksanakan pengurusan lebih baik bagi menangani kelemahan aliran tukaran asing," katanya.

Jelasnya, langkah-langkah yang baharu diumumkan itu merupakan sebahagian daripada siri inisiatif pembangunan pasaran oleh Jawatankuasa Pasarangan Kewangan.

Ia bertujuan mewujudkan pasaran tukaran asing di Malaysia yang meluas, maju, memiliki kecairan agar setara dengan pertumbuhan ekonomi serta sentiasa menepati keperluan sofistikated para pengguna.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diperolehi menerusi talian 03-2698 6089, 03-2692 8736, 03-2691 6473, 03-2691 3164 atau 03-2693 0772 (Isnin sehingga Jumaat pada 9 pagi-5 petang), Sabtu dan Ahad dari 9 pagi-1 tengah hari) atau emel [email protected] mulai 3 Disember.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS