Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
LHDN: Semak status sekatan perjalanan sebelum keluar negara
Diterbitkan:  Dec 2, 2016 8:01 PM
Dikemaskini: 12:02 PM

Pembayar cukai yang merancang ke luar negara pada musim cuti sekolah ini dinasihatkan menyemak status sekatan perjalanan dan menjelaskan tunggakan cukai mereka, bagi mengelak sebarang kesulitan di kaunter imigresen dan pintu keluar negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata semakan boleh dibuat melalui portal rasmi Jabatan Imigresen Malaysia http://sspi2.imi.gov.my/.

"Pemberitahuan tindakan sekatan perjalanan kepada pembayar cukai yang dikenakan sekatan perjalanan turut dibuat secara pos berdaftar dan dihantar ke alamat mereka yang berdaftar dengan LHDN," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sekatan perjalanan ke luar negara merupakan tindakan penguatkuasaan di bawah peruntukan Seksyen 104 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan Seksyen 22 Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 terhadap pembayar cukai yang gagal membayar tunggakan cukai mereka walaupun notis peringatan diberikan.

Beliau berkata pembayar cukai yang disekat keluar negara hendaklah membuat permohonan pelepasan sekatan di cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum tarikh perjalanan ke luar negara.

Setelah mengemukakan surat permohonan mengandungi maklumat destinasi, tujuan dan tempoh ke luar negara, mereka juga perlu membayar sekurang-kurangnya 50 peratus daripada jumlah cukai tertunggak dan membuat bayaran ansuran untuk baki selebihnya, kata beliau.

Beliau berkata pembayar cukai boleh menyemak prosedur pelepasan tujuh hari itu di pautan http://lampiran.hasil.gov.my/pdf/pdfam/18_Sekatan_Perjlnan.pdf.

- Bernama

Lihat Komen
ADS