Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rakyat M'sia diminta terus undi Mohd Faiz
Diterbitkan:  Dec 3, 2016 6:00 AM
Dikemaskini: 10:53 PM

Rakyat Malaysia diminta terus menyokong Mohd Faiz Subri dengan mengundi gol 'melanggar hukum fizik' daripada penyerang Pulau Pinang itu bagi membolehkan beliau memenangi Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia berharap untuk mendengar berita baik selepas Mohd Faiz tersenarai dalam tiga jaringan terbaik dunia untuk seterusnya dipilih menerima anugerah tersebut.

"Saya harap kita dapat berita baik nanti," katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.

FIFA menerusi laman web rasminya, www.fifa.com menyenarai pendek 10 gol menarik dari 30 September 2015 sehingga 30 September tahun ini untuk Anugerah Puskas yang menyaksikan jaringan Mohd Faiz turut tersenarai.

Mohd Faiz melakukan jaringan itu menerusi sepakan percuma dari jarak 32 meter ketika Pulau Pinang bertemu Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Februari lalu.

Ditanya tentang ganjaran yang akan diberikan sekiranya Mohd Faiz memenangi anugerah itu, Khairy berkata: 'Tunggu lah,".

Selain Mohd Faiz, dua lagi pemain disenarai pendek untuk tiga gol terbaik bagi anugerah itu ialah Johnath Marlone, pemain kelab Corinthians dari Brazil, dan pemain wanita Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Tiga jaringan terbaik yang mendapat undian tertinggi akan melalui proses undian kedua dan pemenang akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland pada 9 Januari depan.

Tahniah dari FAM

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengucapkan tahniah kepada pemain Pulau Pinang kerana mengharumkan nama negara di persada antarabangsa selepas muncul sebagai antara tiga calon utama bagi Anugerah Puskas FIFA 2016 dengan jaringan ajaibnya.

"Bagi pihak FAM, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Faiz kerana dipilih antara tiga finalis anugerah tersebut. Saya harap semua rakyat Malaysia akan terus mengundi untuk beliau merangkul anugerah itu," kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin katanya kepada Bernama, malam tadi.

Mengenai kemungkinan FAM memberi ganjaran, Hamidin berkata: "FAM akan memutuskannya kemudian bagi menghargai kejayaan itu."

Beliau turut menyatakan pegawai FAM akan mengiringi Mohd Faiz untuk majlis anugerah itu yang akan diadakan sempena Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland, 9 Jan depan.

SAM puji pencapaian Faiz

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa turut memuji pencapaian Mohd Faiz.

"Bagi jaringan ajaibnya disenarai pendekkan antara tiga calon Anugerah Puskas semenangnya pencapaian bersejarah khusus bagi Mohd Faiz dan bola sepak negara amnya.

"Kewartawan sukan negara bangga dengan beliau dan saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus menyatakan sokongan dengan mengundi Mohd Faiz pada pada pusingan kedua bagi memastikan beliau dapat membawa pulang anugerah itu ke tanahair," katanya.

Sejarah Anugerah Puskas

Anugerah tahunan Puskas mengiktiraf seorang pemain, lelaki namun pun wanita, yang dianggap telah menjaringkan gol paling cantik pada tahun berkenaan.

Pada Oktober 2009, FIFA memperkenalkan anugerah tersebut sebagai penghormatan kepada lagenda Hungary, Ference Puskas, iaitu penyerang pasukan Real Madrid dalam lewat tahun 1950-an dan 60-an dan tonggak utama pasukan Hungary yang berjaya dalam era tersebut.

Puskas dianggap sebagai salah seorang pemain terunggul sepanjang zaman.

Beliau telah menjaringkan 84 gol dalam 85 perlawanan antarabangsa untuk Hungary dan 514 gol dalam 529 perlawanan dalam liga Hungary dan Sepanyol.

Beliau muncul juara Olimpik pada Sukan Olimpik Helsinki di Finland pada 1952 dan memimpin pasukan Hungary mara ke final Piala Dunia 1954 di Switzerland.

Walaupun kalah 2-3 kepada Jerman Barat (ketika itu) pada final, Puskas dinobatkan sebagai pemain terbaik Piala Dunia itu.

skas merangkul Piala Eropah sebanyak tiga kali pada 1959, 1960 dan 1966 dan 10 juara kebangsaan (lima juara liga Hungary dan lima juara liga Sepanyol) serta gelaran Kasut Emas sebanyak lapan kali.

Penyerang lagenda itu lahir pada 1 April 1927 di Budapest, Hungary dan meninggal dunia ketika berusia 79 tahun pada 17 Nov 2006.

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mencipta sejarah sebagai pememang pertama anugerah itu pada 2009 sempena Anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA di Swtizerland.

Sejak itu, anugerah itu kemudian dimenangi pemain Turki, Hamit Altintop (2010), bintang Brazil, Neymar (2011), pemain Turki, Miroslav Stoch (2012), pemain Sweden, Zlatan Ibrahimovoc (2013) dan James Rodriguez dari Colombia pada 2014.

Tahun lepas, pemain tidak ternama dari kelab Goianesia di Brazil, Wendell Lira dinobatkan pemenang anugerah itu selepas mengatasi bintang terkemuka dunia seperti Lionel Messi dan Carlos Tevezs, kedua-dua dari Argentina.

Tiga jaringan terbaik yang mendapat undian tertinggi akan melalui pula proses undian kedua yang pemenangnya akan diumumkan pada Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland pada 9 Januari nanti.

- Bernama

Lihat Komen
ADS