Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Terus setia bersama Umno kerana ajaran Muhyiddin'
Diterbitkan:  Dec 3, 2016 11:59 AM
Dikemaskini: 7:12 AM

PAU 2016 Sokongan anggota Umno bahagian Pagoh kepada parti dan kepimpinan masih teguh kerana mereka berpegang kepada konsep kesetiaan seperti yang ditekankan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada anggota parti ketika
beliau berada dalam parti itu, kata pemangku ketua Umno bahagian itu Ismail Mohamed.

Justeru itu, katanya, Muhyiddin tidak harus kecewa apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diterajuinya sebagai presiden, kurang mendapat sambutan di Pagoh.

"Kami dibimbing untuk setia kepada parti," katanya kepada Bernama ketika ditemui di luar Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Beliau berkata pelbagai gerak kerja yang dilakukan di bahagian itu termasuk bertemu anggota-anggota cawangan Umno, mengadakan gerakan Jalinan Rakyat Wanita Umno dan Himpunan Orang Muda, mendapat sambutan.

"Alhamdulillah, semasa kita buat gerak kerja...semua sayangkan Umno lagi, mereka masih menyokong Barisan Nasional (BN)," kata Ismail yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Serampang.

Ismail memangku jawatan Ketua Umno Pagoh berkuat kuasa serta merta ekoran pemecatan Muhyiddin daripada parti pada 24 Jun 2016.

Muhyiddin, 69, merupakan anggota Parlimen Pagoh sejak memenangi kerusi itu pada pilihan raya Ke-5 pada 1978. Beliau merupakan ketua Umno bahagian Pagoh sejak 1986.

Ismail, yang dilaporkan bersedia untuk menentang penyandang kerusi Parlimen Pagoh itu jika diminta berbuat demikian, berkata tindakan itu bagi meneruskan kelangsungan perjuangan Umno membela nasib rakyat di kawasan itu dan bukannya mahu membalas dendam kepada Muhyiddin.

Menurutnya selepas lebih 20 tahun bersama Umno Pagoh, beliau berasa bertanggungjawab meneruskan perjuangan parti di kawasan itu selepas ketiadaan Muhyiddin.

"Kata orang, bukan kerana membalas dendam atau suka-suka tetapi untuk kebaikan orang Parlimen Pagoh, yang sebelum ini saya sendiri bersama kawan-kawan memainkan peranan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS