Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bolehkah DAP terajui M'sia jika menang 51 kerusi, tanya AMANAH
Diterbitkan:  Dec 3, 2016 3:31 PM
Dikemaskini: 7:39 AM

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil berkata, DAP yang hanya bertanding di 51 daripada 222 kerusi Parlimen tidak mampu menerajui kepimpinan negara jika pembangkang menang dalam pilihan raya umum ke14 (PRU14).

Justeru, ujar beliau, ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang berkisar mengenaoi PRU14 adalah penentuan keindukan kerajaan pimpinan Umno atau kerajaan baharu yang diterajui DAP adalah menjengkelkan.

"Kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menyokong kenyataan Najib itu juga tidak mencerminkan sifat kepimpinan masa depan negara dan berbaur perkauman.

"Penduduk Cina di negara ini pula hanya sekitar 24 peratus dan DAP tidak bertanding menentang Umno, justeru, dalam keadaan ini, bagaimana DAP mampu untuk memerintah negara ini.

"Serangan terhadap DAP adalah satu bentuk intimidasi politik ke atas orang Melayu sedangkan penolakan orang Melayu terhadap UMNO itu tidak pun akan memenangkan DAP tetapi parti politik lain yang bakal menentang Umno seperti PKR, AMANAH dan BERSATU," kata beliau dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Najib ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2016 berkata, rakyat Malaysia terutama orang Melayu dan Bumiputera berdepan persimpangan paling genting dalam sejarah politik negara untuk membuat keputusan antara dua pilihan tersebut.

"Persoalan pilihan keindukan kepimpinan ini bukanlah perkara yang boleh diambil mudah dan enteng-entengan, kerana saya khuatir, barangkali ada antara umat Melayu dan Bumiputera yang masih leka tentang hal ini," ujar beliau.

Perdana menteri memberi amaran keindukan kepimpinan tidak boleh dipandang ringan kerana banyak hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera akan lenyap serta pupus sekiranya DAP berkuasa.

Ini termasuk institusi-institusi Bumiputera antaranya Majlis Amanah Rakyat, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan serta Unit Peneraju Agenda Bumiputera, katanya.

Selain itu, Najib berkata Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menjadi kebanggaan orang Melayu dan Bumiputera selama 60 tahun juga tidak akan mampu mengekalkan falsafah penubuhannya.

"Kalaulah orang Melayu dan Bumiputera mengetahui mimpi ngeri yang bakal melanda hidup mereka, saya yakin mereka akan berpaut seteguh-teguhnya kepada Umno, parti yang mampu membela keturunan dan memperjuangkan masa depan mereka," kata Najib lagi.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, ternyata, slogan 1Malaysia yang disorak kerajaan telah diabaikan oleh Khairy semata-mata bagi memastikan UMNO terus kekal ditampuk kekuasaannya.

"Hak dan kepentingan orang Melayu akan terus dipertahankan dan diuruskan dengan lebih baik jika orang Melayu memilih calon Pakatan Harapan yang berpegang kepada prinsip urus tadbir yang baik dan integriti sebagai asas perjuangan dan transformasi sistem pemerintahan.

"Hak keistimewaan orang Melayu di dalam Perlembagaan akan terus kekal dan tidak akan diganggu," tambah Faiz.

Lihat Komen
ADS