Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan tubuh pasukan petugas siasat anasir luar
Diterbitkan:  Dec 3, 2016 6:52 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Lebih setahun lalu, pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Peguam Negara bersama-sama menyiasat salah satu skandal kewangan terbesar negara, 1MDB.

Ia juga menjadi tempoh pergolakan Umno apabila terdapat pemimpin kanan parti yang mula mempersoalkan peranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam skandal berkenaan.

Pada hari ini pula, mereka yang memberontak di dalam Umno telah 'ditumbangkan' dan pasukan petugas daripada pelbagai agensi yang menyiasat isu 1MDB juga tidak lagi wujud.

Sebaliknya, ia telah disusun semula untuk menghadapi musuh baru, menurut pemangku Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri dan timbalan perdana menteri.

Bercakap pada majlis penutupan Perhimpunan Agung Umno ke-70 di ibu negara hari ini, Zahid berkata, beliau telah ditugaskan oleh Najib untuk menangani anasir luar yang cuba mencetuskan revolusi di negara ini.

Ahmad Zahid mendakwa, elemen-elemen anasir luar itu termasuk kumpulan hak asasi manusia Suaram, kumpulan gerakan reformasi pilihan raya BERSIH, Majlis Peguam, portal berita Malaysiakini dan portal Sarawak Report.

"Soalnya, apakah tindakan selanjautnya.

"Saya ingin umumkan kerajaan tubuh taskforce dianggotai oleh PDRM, SPRM, Bank Negara Malaysia dan Pejabat Peguam Negara untuk mencari semua maklumat hingga ke akar umbi dan ke lubang cacing," katanya.

Zahid dalam ucapan penggulungannya turut menggesa perwakilan Umno untuk memberi penghormatan kepada pihak polis yang kemudiannya ia mengundang sorakan daripada perwakilan.

Terdahulu, Zahid dalam ucapannya memberitahu bahawa pertubuhan yang beliau namakan telah menerima pembiayaan daripada organisasi yang mempunyai kaitan dengan jutawan Amerika Syarikat George Soros.

Beliau mendakwa, organisasi milik jutawan berkenaan bertanggungjawab terhadap revolusi warna di seluruh Eropah Timur.

"Revolusi ini telah merebak ke Timur Tengah... ia dikenali sebagai Arab Spring," katanya lagi.

Selain itu, Zahid memberitahu, BERSIH pula telah cuba mencetuskan 'revolusi kuning' di Malaysia dengan adanya perhimpunan BERSIH 5.

Bagaimanapun, anggota parlimen Bagan Datoh itu berkata, 'revolusi kuning' berkenaan gagal.

Beliau turut memetik perhimpunan Baju Merah pada 19 November lalu dan menegaskan bahawa ia tiada kaitan dengan Umno.

"Mereka mungkin telah menggunakan warna merah, warna parti kita tetapi mereka mewakili NGO bukan Umno," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS