Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN l Melalui Pesiaran Mokhtar Dahari yang menghubungkan Bukit Jelutong di Shah Alam dengan Puncak Alam di luar waktu puncak, tidak terlalu banyak kenderaan yang ada.

Keadaan itu membolehkan kenderaan dipandu agak laju. Sebagai pemandu tumpuan tentulah ditujukan ke arah jalan dan dengan sesekali menoleh ke kiri dan kanan.

Ada kawasan perumahan baru dan lama, ada bukit yang sedang rancak ditarah dan ada beberapa kawasan petempatan baru perlahan-lahan menuju sibuk.

Dalam keadaan pemanduan lancar, sesebuah papan tanda pada kedai boleh saja mengelirukan. Justeru sebuah kedai yang ada papan tanda "Membaiki Sofa Lama" boleh saja mengelirukan mata menjadi "Kedai Sofi Jikan".

Keadaan semasa pula boleh menambah keliru. Ketika ekonomi semakin menghimpit dan sesetengah artis mengubah haluan mencari rezeki dengan berniaga, "kedai sofa lama" akan mudah dipercayai sebagai "kedai Sofi Jikan".

Hanya dengan ketelitian dan kewarasan hakikat sebenar dapat ditanggap dengan betul.

Politik pun begitulah. Bahasa, imej, simbol, teks dan konteks misalnya harus dibaca dengan cermat dan menyeluruh.

Ada dua peristiwa 'romantis' penting berlaku sehari dua ini. Ia membabitkan empat tokoh penting empat parti politik utama di Malaysia.

Diserang sindrom qiamullail

Bagi setiap peristiwa, ia melihatkan sepasang watak yang pernah berseteru begitu sengit. Tetapi itulah, seperti fatwa klise politik, tiada permusuhan atau persahabatan abadi.

Sepuluh tahun lalu sangat sukar membayangkan Tun Dr Mahathir Mohamad boleh bersenda gurau, bercanda dan bergandingan tangan dengan orang bernama Lim Kit Siang. Di majlis DAP pula.

Ia kesukaran sama untuk menggambarkan seorang ahli politik bernama Datuk Seri Abdul Hadi Awang boleh tersenyum lebar dan ramah dengan Datuk Seri Najib Razak. Memanglah sejak lima enam tahun lalu bayangan itu sudah ada, cuma ia masih tidak terjelma sekurang-kurangnya 10 tahun silam.

Najib adalah tokoh Umno yang pernah mengungkapkan bahawa ada pelajar yang "diserang sindrom qiamullail". Ketika kenyataan itu dibuat rasanya kemudahan Internet belum wujud, namun pada blog Naib Presiden PAS Idris Ahmad, fakta itu ada dimuatkannya pada entri Oktober 2008.

Selepas Najib mengungkapkan kenyataan itu PAS begitu aktif mengecam. Ada kemungkinan semasa kenyataan itu dibuat Najib tersalah petik atau tersasul. Beliau mungkin menyedari tidak sepatutnya ia disebut begitu. Mungkin.

Namun politik - antara lain - ialah pencak untuk memanfaatkan setiap peluang jika ada. PAS tentu cukup sedar dan terlatih mengenai hakikat itu.

Tidak dapat dibayangkan jika Abdul Hadi meredakan kenyataan Najib puluhan tahun silam itu.

Namun mereka akhirnya nampak sangat mesra. Lupakanlah kisah pakaian sedondon mereka di suatu acara sebelum ini. Tanpa pakaian sedondon pun Abdul Hadi nampak tidak lagi berseteru sangat dengan Najib dan Umno.

Kalau mahu lupakan juga kisah "amanat Haji Hadi" yang pernah menyebabkan presiden PAS itu diserang kiri dan kanan.

Kekal bersikap ambil mudah

Kebersamaan presiden Umno dan PAS demi nasib Rohingya di Titiwangsa kelmarin seakan-akan mengakrabkan apa yang sudah terjalin.

Tapi itulah politik. Kita perlu sentiasa membacanya dengan teliti.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man nampaknya dapat membaca kesan politik daripada detik Najib dan Abdul Hadi berpegangan tangan. Justeru beberapa jam selepas perhimpunan itu timbalan presiden PAS itu mengeluarkan kenyataan menegaskan pendirian partinya sebagai "saingan terbesar Umno".

Ketika sesetengah pengkritik mentafsir secara sinis ungkapan "saing" Tuan Ibrahim itu sebagai loghat Kelantan yang bermaksud "kawan", tidak ada penegasan semasa dibuat oleh ketua penerangan PAS mengenai kedudukan mereka dan Umno.

Mungkin ia dirasakan tidak perlu. Bahawa ahli PAS hampir semuanya boleh dikawal melalui pimpinan di pelbagai peringkat sebenarnya bukanlah alasan untuk kekal mengambil sikap mudah.

Ia adalah salah satu bacaan politik juga. Tuan Ibrahim mungkin dapat membacanya dengan betul. 

Perlu diingatkan orang ramai juga mampu membaca politik. Perhimpunan Agung Umno (PAU) kali ke-70 di Kuala Lumpur yang berakhir Sabtu lalu banyak meninggalkan imej, simbol, teks dan konteks.

Misalnya bagaimana Umno mengingatkan ahli parti supaya walak serta istiqamah. Ucapan yang disampaikan pula kadang-kadang dihiasi takbir - suatu amalan yang selama ini sinonim benar dengan tradisi PAS.

Memanglah takbir itu bukan dipatenkan pada PAS. Ia bukan hak eksklusif mana-mana pihak. Cuma ini adalah politik dan kaedah bacaannya ada.

Tak perlu buat apa-apa

Mungkin ada yang mahu melihat muktamar PAS diwarnai dengan pakaian pahlawan Melayu, dan takbir serta ungkapan yang sangat dekat dengan parti itu dilaungkan di PWTC sebagai kebetulan. Ia adalah bacaan "politik kebetulan".

dap national congress 041216 mahathir lim kit siang lim guan eng wan azizah mat sabu 2Di Shah Alam pula Dr Mahathir memuji-muji DAP. Suatu masa dulu DAP adalah 'zikir' kecaman Dr Mahathir ketika berpolitik dan mencari sokongan.

Kini tokoh dari Kedah itu membuat pusingan 180 darjah. Ia sekadar menguatkan lagi tanggapan betapa lincahnya seorang manusia bernama Mahathir.

Di perhimpunan tahunan DAP Dr Mahathir memuji parti yang pernah dimusuhinya. Bukan calang-calang punya pujian. Apakah yang membuat beliau begitu? Jawabnya, tentulah hasil bacaan beliau kepada keadaan semasa yang memerlukannya menebalkan muka menidakkan kenyataannya sendiri.

Pilihan raya umum kian hampir. Ada yang meramalkan ia akan diadakan pada April 2017. Ketika Dr Mahathir dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia kian gigih menyusun strategi untuk menumbangkan BN, Umno pula mendapat kelebihan daripada kedudukan PAS.

PAS akan terus mengalunkan hujah bahawa mereka tidak akan bergabung dengan Umno. Kata kunci penegasan itu ialah "gabung". Bersungguh-sungguh menegaskan PAS tidak akan bergabung dengan Umno.

Diyakini PAS masih sangat pintar untuk menolak sebarang usaha menggabungkan parti itu dengan Umno dalam apa jua keadaan kerana mereka menyedari di akar umbi sana sangat ramai ahli yang akan bermufaraqah jika ia terjadi.

Dalam konteks situasi semasa PAS, Umno kini sangat selesa. Mereka tidak perlu berbuat apa-apa pun. Memadai dengan - misalnya - bergambar dan bergelak ketawa dengan mana-mana pimpinan tinggi PAS. Selebihnya, biar orang lain yang melakukan tugasan menyerang parti itu.

Apa boleh buat. PAS mahu membaca politik matang dan sejahtera begitu.

Namun pada akhirnya, rakyat yang celiklah yang sedang membaca drama politik itu. Melalui penelitian yang benar, "sofa lama" tidak akan dibaca sebagai "Sofi Jikan".

Rakyat sedang mengumpul maklumat dan sebahagian daripadanya sudah membuat pendirian: Ahli politik semuanya sama, tak boleh dipercaya, berjuang untuk diri sendiri dan tidak boleh diharapkan.

Sedikit demi sedikit mereka akan menjauhi politik. Mengundi, lagilah meluat.

Dalam keadaan begitu - jika anda tahu membaca bahasa, imej, simbol, teks dan konteks dengan teliti - anda tentu tahu siapakah yang paling beruntung.


Al-Abror Mohd Yusuf adalah anggota sidang redaksi Malaysiakini

Lihat Komen
ADS