Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tangguh meterai perjanjian HSR, kata HARAPAN
Diterbitkan:  Dec 6, 2016 1:03 PM
Dikemaskini: 5:07 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN) mahu kerajaan menangguhkan pemeteraan perjanjian projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Malaysia dengan Singapura.

Penangguhan itu perlu bagi membolehkan suatu kajian yang terperinci, kukuh dan telus bagi membuktikan kemampanan projek tersebut, kata Sim Tze Tzin dari PKR, Dr Hatta Ramli dari AMANAH dan Ong Kian Ming dari DAP dalam kenyataan berkata.

"Disebabkan pendapatan yang bakal dijana akan dikongsi antara Malaysia dan Singapura, kerajaan perlu membentangkan pelan kewangan yang terbuka kepada rakyat tentang nisbah pendapatan yang akan diperoleh Malaysia serta bagaimana kos pembinaan akan ditanggung antara dua pihak.

"Projek ini melibatkan kewangan negara yang besar selain banyak tanah rakyat dijangka akan diambil oleh kerajaan bagi membina landasan HSR yang baru. Oleh itu, kerajaan tidak boleh merahsiakan maklumat projek ini seperti negara dunia ketiga," kata mereka.

Beberapa hari yang lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, perjanjian dua hala mengenai projek HSR antara kedua-dua negara mungkin ditandatangani pada 21 Disember akan datang.

Abdul Rahman berkata, beliau telah menemui Menteri Penyelaras Singapura bagi Infrastruktur merangkap Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan Selasa lepas untuk membincangkan baki butiran perjanjian tersebut.

"Kedua-dua pihak kini mengambil tindakan susulan yang perlu untuk mematuhi prosedur dalaman masing-masing dan keperluan undang-undang bagi menandatangani perjanjian," kata menteri itu lagi.

Landasan sepanjang 350 kilometer itu akan memendekkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit.

Terminal HSR di Singapura terletak di Jurong East sementara Malaysia akan mempunyai tujuh stesen iaitu di Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.

Mengulas lanjut, HARAPAN berkata, jumlah kos untuk projek HSR yang mempunyai landasan sepanjang 350 kilometer itu dijangka tidak kurang daripada RM40 bilion.

"HARAPAN menyeru kerajaan agar tidak mengorbankan kepentingan rakyat dengan membuat pelaburan yang tidak bijak.

"Kerajaan mesti mengambil iktibar daripada episod pelaburan 1MDB di mana hutang bertokok tambah dan akhirnya rakyat pula yang perlu tanggung melalui cukai GST, kenaikan tol lebuhraya dan tambang pengangkutan, potongan subsidi minyak dan sebagainya," jelas mereka.

Justeru, HARAPAN menyeru satu kertas kerja yang terperinci terutamanya butir-butir kewangan seperti kos projek, jumlah pinjaman dan perkongsian pulangan dengan Singapura dibentangkan kepada rakyat, ujar beliau lagi.

Lihat Komen
ADS