Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ekonomi M'sia bakal cecah RM2 trilion, kata Najib
Diterbitkan:  Dec 6, 2016 2:44 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Malaysia muncul sebagai negara dengan nilai ekonomi mencecah RM2 trilion dalam masa tujuh hingga lapan tahun akan datang.

Beliau yang yakin dengan kemampuan negara untuk mencapai sasaran tersebut berkata, ia akan turut disumbangkan oleh perkembangan pesat wilayah Iskandar Malaysia.

"Saya mahu Malaysia muncul sebagai ekonomi (bernilai) RM2 trilion dalam masa tujuh hingga lapan tahun.

"Saya sendiri ada berbincang dengan Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani dan kita mampu mencapai ekonomi RM2 trilion berkenaan," katanya, memetik laporan Bernama.

Najib berkata demikian ketika berucap melancarkan sambutan ulang tahun ke-10 Iskandar Malaysia di Kompleks Sukan Educity, hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA), juga mahu melihat Malaysia muncul sebagai 20 negara utama ekonomi dalam satu jangka masa tertentu.

"Iskandar Malaysia juga akan memberi sumbangan ke arah pencapaian tersebut," kata Najib.

Ekonomi negara telah mencatatkan nilai sebanyak RM1,157.1 bilion pada 2015 berbanding RM1,106.5 bilion pada 2014.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, Lebihan Kendalian Kasar (LKK) merupakan penyumbang terbesar dalam komponen pendapatan iaitu 60.5 peratus manakala Pampasan Pekerja menyumbang 34.8 peratus kepada ekonomi Malaysia.

“Baki 4.7 peratus disumbangkan oleh cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import,” kata jabatan berkenaan dalam kenyataannya.

Ekonomi secara keseluruhan pula merekodkan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus pada 2015, disokong oleh prestasi positif dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.

Lihat Komen
ADS