Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Orang Asli Gua Musang, Kelantan hari ini membuat aduan kepada Suruhanjaya Integriti Penguatkuasaan Malaysia (EAIC) ekoran tindakan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) menangkap 54 Orang Asli.

Menurut Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) Azmi Badun, aduan hari ini dibuat terhadap JPNK dan PGA kerana didakwa menyalahguna kuasa dengan menangkap Orang Asli di sekatan di Gua Musang.

Malah, ujar beliau, JPNK telah menyalah gunakan kuasa yang dilakukan sekali lagi apabila memohon tahanan reman selama dua hari terhadap 47 Orang Asli pada 30 November lalu.

"Mereka (JPNK) juga salah guna kuasa dengan meroboh sekatan-sekatan dan bangunan-bangunan tradisi di Simpang Petei, Kampung Cawas, Kampung Parik dan Simpang Pos Tohoi pada 29 November dan 1 Disember oleh JPNK.

"Mereka juga salah guna kuasa dengan membuat sekatan oleh JPNK yang turut menghalang kemasukan orang awam, NGO, peguam dan wartawan ke dalam perkampungan Orang Asli di kawasan sekatan sejak 11 Oktober," katanya.

Azmi berkata demikian pada sidang media di lobi EAIC di Wisma Usahawan, Putrajaya.

Selain Azmi, turut hadir bersama beliau ialah 10 Orang Asli dari Gua Musang dan turut diiringi ialah Koordinator Biro Orang Asli Parti Sosialis Malaysia (PSM) Suresh Kumar.

Aduan yang dibuat telah diterima oleh Pengarah bahagian Operasi (Aduan dan Siasatan) Datuk Muhammad Bukhari Ab Hamid.

Turut hadir juga ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Bazlinda Bahrin.

Selain itu, Azmi turut berkata, antara penyalah gunaan kuasa yang dilakukan oleh JPNK dan PGA ialah menggunakan Akta Perhutanan Negara Seksyen 32 (1) untuk menangkap 54 Orang Asli dan merobohkan struktur yang didirikan.

Ini kerana, menurutnya akta tersebut, ia tidak boleh diguna untuk Orang Asli mengikut Akta Orang Asli 1954.

Sehubungan itu, Azmi memberitahu, pihaknya kini akan membina tujuh sekatan baru bagi menggantikan sekatan yang dirobohkan.

"Kami akan dirikan semula sekatan. Hari itu dah buat tiga, kali ini akan buat tujuh sekatan.

"Walaupun mereka (JPNK) masuk untuk robohkan, kita tetap akan bina sekatan.

"Kami bukan buat sekatan di tempat lain. Kami buat sekatan di tempat kami, kami cuma nak pertahankan hak kami sendiri," katanya lagi.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan seramai 54 masyarakat Orang Asli ditahan ekoran pembikinan sekatan anti-pembalakan di Pos Petei, Gua Musang.

Malah, operasi merobohkan sekatan juga dilakukan di Pos Petei dan Pos Bihai di hutan simpan Balah.

Lihat Komen
ADS