Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rasanya minggu depan di KL, kata Najib mengenai HSR
Diterbitkan:  Dec 6, 2016 5:45 PM
Dikemaskini: 9:48 AM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini memberi bayangan Malaysia akan memeterai perjanjian projek Keretapi Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) di Kuala Lumpur pada minggu hadapan.

"Saya berpendapat, kita akan menandatangani perjanjian itu minggu depan. Beliau (Lee) akan datang ke Kuala Lumpur," katanya selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-10 Iskandar Malaysia di Educity, hari ini.

Sambil menyifatkan perkembangan projek HSR itu berjalan 'lancar dan baik', ujar Najib, bagaimanapun, Singapura meminta sedikit masa kerana negara itu memerlukan kelulusan daripada presidennya.

"Perdana Menteri, Lee Hsien Loong telah menghubungi saya dan meminta sedikit masa bagi memberi taklimat kepada presiden mereka," jelas beliau lagi, memetik laporan Bernama.

Mengikut Perlembagaan Singapura, jaminan projek seumpama itu memerlukan kelulusan presiden.

Kedua-dua negara sudah membincangkan perjanjian itu lebih setahun.

Baru-baru ini Najib berkata, Malaysia dan Singapura berada di landasan untuk menandatangani perjanjian projek HSR pada awal Disember dan tender antarabangsa bagi membekalkan kereta api akan dibuat pada suku keempat tahun depan.

Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian HSR bersejarah itu pada 19 Julai 2016, menandakan dalam tempoh 10 tahun akan datang, pelancong akan sampai ke destinasi akhir antara kedua-dua bandar raya dalam hanya 90 minit.

Laluan itu dijangka mempunyai lapan stesen, iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.

Sementara itu, Pakatan Harapan (HARAPAN) mahu kerajaan menangguhkan pemeteraan perjanjian HSR bagi membolehkan suatu kajian yang terperinci, kukuh dan telus bagi membuktikan kemampanannya.

Dalam kenyataan bersama, Sim Tze Tzin dari PKR, Dr Hatta Ramli dari AMANAH dan Ong Kian Ming dari DAP berkata, kerajaan juga perlu membentangkan pelan kewangan yang terbuka kepada rakyat.

"Disebabkan pendapatan yang bakal dijana akan dikongsi antara Malaysia dan Singapura, kerajaan perlu membentangkan pelan kewangan yang terbuka kepada rakyat tentang nisbah pendapatan yang akan diperoleh Malaysia serta bagaimana kos pembinaan akan ditanggung antara dua pihak.

"Projek ini melibatkan kewangan negara yang besar selain banyak tanah rakyat dijangka akan diambil oleh kerajaan bagi membina landasan HSR yang baru. Oleh itu, kerajaan tidak boleh merahsiakan maklumat projek ini seperti negara dunia ketiga," kata mereka.

Lihat Komen
ADS