Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ubat baru barah sudah disenarai
Diterbitkan:  Dec 7, 2016 6:41 AM
Dikemaskini: Dec 7, 2016 2:32 AM

Ubat baru bagi merawat barah sudah pun disenaraikan dalam formulari ubat-ubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan ia boleh diperolehi di hospital-hospital besar, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Sambil menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa ubat baru barah tidak terdapat di Malaysia, beliau menjelaskan sebelum disenaraikan dalam formulari itu, kerajaan membelanjakan kira-kira RM420,000 untuk merawat 11 pesakit yang memerlukan ubat 'Sunitinib' bagi merawat barah.

Beliau berkata KKM mempunyai formulari standard bagi ubat-ubatan, yang secara tidak rasminya dikenali sebagai 'Blue Book'.

"Ia mengandungi senarai ubat-ubatan yang berperanan sebagai panduan kepada doktor mengenai ubat-ubatan yang boleh dipreskripsikan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di fasiliti KKM.

"Semua ubat-ubatan yang disenaraikan dalam formulari itu disediakan untuk pesakit tanpa sebarang bayaran - pesakit hanya membayar RM1 hingga RM5 apabila mendapatkan rawatan pesakit luar dan bagi perkhidmatan pesakit dalam, mereka hanya perlu membayar kos wad dan ujian tertentu manakala ubat-ubatan disediakan secara percuma," katanya dalam kenyataan semalam.

Dr Noor Hisham berkata pesakit-pesakit di negara lain, termasuk mereka yang memerlukan rawatan barah, sukar mendapatkan akses kepada perkhidmatan sedemikian.

KKM juga membelanjakan RM240 juta hanya untuk terapi barah dan ia merupakan 10 peratus daripada keseluruhan bajet ubat-ubatan tahun lepas, katanya.

Bagi terapi sasaran lain untuk barah paru-paru, hati dan buah pinggang, tumor stroma gastrousus, dan kondisi hematologi, beliau berkata ia sudah pun disenaraikan dalam formulari ubat-ubatan KKM dan disediakan di hospital-hospital walaupun kosnya mahal.

"Kebanyakannya terdapat di hospital-hospital besar KKM kerana ia memerlukan penjagaan khusus," jelasnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS