Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Selepas sembilan hari insiden tangkapan Orang Asli serta perobohan sekatan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah Gua Musang, kini masyarakat itu bangkit dan berjanji untuk membina lebih banyak sekatan.

Selepas sekatan telah dirobohkan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) 29 November lalu, mereka kini akan mula mendirikan sekatan baru pada Sabtu ini.

Persiapannya telah berjalan antaranya masyarakat Orang Asli Temiar mula mengumpul bahan-bahan untuk membina sekatan di tempat lama dan baru.

Menurut Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Azmi Badun, antara bahan yang telah dikumpulkan ialah buluh, kayu dan rotan untuk membina sekatan baru.

Katanya lagi, sebanyak tujuh sekatan baru - berbanding tiga sebelum ini - akan dibina. Antara lokasi sekatan baru tersebut ialah jalan menuju ke Pos Balar dan Pos Hau.

"Kita dah bincang dengan semua komuniti Orang Asli dan mereka mempersetujui untuk mendirikan sekatan semula serta menambah sekatan lain.

"Kami tak rasa takut sebab kita bukan lakukan jenayah. Kita cuma pertahankan hak kami.

"Kita akan mula (bina sekatan baru) pada 10 Disember, Sabtu ini dan orang kampung juga kini sedang dalam proses untuk membaik pulih bangunan (pondok sekatan) yang dirobohkan," katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu, ditanya mengenai dakwaan yang mengatakan terdapat Orang Asli dari luar Gua Musang turut ditahan semasa JPNK merobohkan sekatan, Azmi menafikan perkara tersebut.

Malah, beliau dengan tegas memberitahu kesemua 54 Orang Asli yang ditahan merupakan Orang Asli dari Gua Musang.

"Dakwaan tak berasas sebab menuduh sedangkan yang kena tangkap Orang Asli sejati (dari Gua Musang).

"Tak ada Orang Asli negeri lain (yang ditahan), hanya (Orang Asli) Kelantan sahaja.

"Kalau ada Orang Asli lain pun, mereka hanya bergabung untuk pertahankan hak kami, mereka hanya menyokong. Kita tak halang mereka (Orang Asli luar dari Gua Musang) untuk datang, mereka juga Orang Asli," katanya lagi.

Azmi turut berkata, sehingga hari ini tiada usaha dari kerajaan negeri untuk berjumpa pihak mereka seperti yang dituntut sebelum ini.

"Antara tuntutan kami pada pihak berkuasa kerajaan negeri ialah supaya iktiraf hak Orang Asli dan hormati adat-adat Orang Asli.

"Tapi sehingga kini tak ada (perbincangan bersama kerajaan negeri). Kami dah datang (Wisma Darul Naim) SUK 2 November lalu dan bercakap dengan timbalan menteri besar Kelantan dan beliau berjanji nak adakan perbincangan isu sekatan.

"Tapi sampai sekatan dah diroboh tak ada perjumpaan," ujarnya.

Sehubungan itu, Azmi berharap agar suara mereka didengar dan akan ada perbincangan bersama kerajaan negeri di tempat mereka adakan sekatan berkenaan.

"Kami percaya hutan dan tanah telah diduduki oleh nenek moyang kami sejak dulu. Jadi kami mempertahankan sekatan itu bukan di kawasan orang lain," katanya lagi.

Sekatan di HSK Balah didirikan pada 28 September lalu untuk menghentikan aktiviti pembalakan, yang menurut masyarakat Orang Asli telah menjejaskan sumber air mereka.

Akhir bulan lalu Malaysiakini melaporkan, seramai 54 aktivis Orang Asli ditahan di Pos Petei dan Pos Bihai, Gua Musang.

Bagaimanapun, selepas direman, kesemua Orang Asli dibebaskan dan tiada caj dikenakan ke atas mereka.

Selepas Orang Asli ditahan, JPNK dengan disertai kira-kira 100 anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) pula telah bertindak merobohkan Pos Petei dan Pos Bihai.

Lihat Komen
ADS