Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP disaran buka kelas belajar BM
Diterbitkan:  Dec 7, 2016 12:45 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Pengerusi NGO Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Azrinizam Ibrahim menyarankan DAP membuka kelas bahasa kebangsaan kepada ahlinya yang terbukti tidak mampu menguasai bahasa Malaysia dengan baik.

Jelas beliau, adalah sesuatu yang memalukan apabila seseorang itu tidak mampu untuk menguasai bahasa kebangsaan dan mungkin kerana itulah jiwa patriotisme tidak ada dalam diri ahli DAP.

"Apa ertinya menjadi warganegara Malaysia jika tidak tahu berbahasa kebangsaan? Di beberapa negara lain jika tidak tahu berbahasa kebangsaan negara tersebut maka seseorang itu mungkin tidak layak diberi keistimewaan menjadi warganegara.

“Konvensyen Kebangsaan DAP baru-baru ini membuktikan ahlinya memang tidak mampu menguasai bahasa kebangsaan apabila parti itu terpaksa menyediakan alat penterjemah.

“Oleh itu, saya cadangkan agar DAP buka kelas bahasa kebangsaan daripada berhabis duit beli alat terjemah bahasa,” ujar beliau, memetik laporan Umno Online.

Sejurus selepas selesai Konvensyen Kebangsaan DAP pada Ahad yang lalu, Setiausaha Penganjurnya Anthony Loke berkata, parti itu membelanjakan RM20,000 bagi alat untuk menterjemah dari Bahasa Malaysia ke Mandarin dan Tamil.

“Mungkin selama ini, pemimpin Umno menyangka kami dalam DAP hanya menggunakan bahasa Mandarin dalam persidangan kebangsaan kami.”

“Adalah menjadi polisi DAP untuk menjunjung tinggi bahasa kebangsaan namun pada masa yang sama, walaupun kami mahu ahli-ahli DAP menggunakan bahasa Malaysia, kami tidak mahu mereka meninggalkan bahasa pertuturan kaum mereka.” jelas Loke.

Sebanyak 100 unit alat terjemahan digunakan pada persidangan bagi membolehkan terjemahan serentak dari bahasa kebangsaan kepada Mandarin atau Tamil, katanya.

Mengulas lanjut, Azrinizam berkata, tidak ada makna guna lagu DAP di dalam bahasa Malaysia tetapi ahli malah pemimpin mereka sendiri gagal untuk bercakap dan memahami bahasa kebangsaan negara ini.

“Bagi saya, lagu parti itu dibuat dalam bahasa Malaysia hanya sebagai satu propaganda untuk mendapat undi.

“DAP patut sedar kegagalan ahli dan pemimpin mereka menguasai bahasa kebangsaan adalah perkara yang amat serius.

"Lihatlah apa jadi dalam Dewan Rakyat bila pemimpin DAP berhujah dalam bahasa Malaysia yang tunggang langgang.

“Jika menguasai bahasa kebangsaan pun mereka gagal, maka bagaimana mahu menjadi seorang pemimpin yang baik,” tambah beliau.

Lihat Komen
ADS