Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Peguam: Tiada peraturan halang Anwar bercakap
Diterbitkan:  Dec 7, 2016 4:45 PM
Dikemaskini: 1:33 PM

Tidak ada undang-undang melarang Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media ketika di mahkamah, kata peguam pemimpin PKR hari ini.

N Surendran menyatakan mengikut Akta Penjara 1995 atau Peraturan Penjara 2000 tiada peruntukan melarang seseorang banduan bercakap kepada media.

"Justeru Jabatan Penjara Malaysia atau Kementerian Dalam Negeri menghalang media daripada melaporkan apa yang dikatakan Anwar atau menghalangnya bercakap kepada wartawan.

"Bangunan mahkamah adalah kawasan awam dan wartawan berhak menjalankan tugas mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Surendran yang juga anggota parlimen Padang Serai mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Hassan Sakimon yang menyatakan Anwar tidak dibenarkan bercakap kepada media semasa hadir di mahkamah.

Sakimon juga membangkitkan masalah dihadapi anggota jabatan itu yang terhalang laluan mereka ketika mengiringi bekas timbalan perdana menteri itu apabila diserbu media.

Kata Surendran media hanya menjalankan tugas dan bertanyakan soalan berkaitan kepentingan awam.

Katanya seseorang hanya hilang kebebasan bergerak apabila menjadi tahanan penjara namun hak perlembagaannya tidak dilucutkan, termasuk kebebasan bersuara.

"Dalam sebarang keadaan, mengapa pihak berkuasa begitu bimbang kepada apa yang mungkin dikatakan Anwar?

"Tidak ada keperluan Kementerian Dalam Negeri atau jabatan penjara bersikap defensif dalam hal ini.

"Tugas mereka ialah memastikan keselamatan dan kebajikan semua tahanan, tidak lebih daripada itu," katanya.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh sejak Februari lalu selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan.

Pemimpin pembangkang itu bagaimanapun bertegas dia tidak melakukan kesalahan berkenaan dan mendakwa tuduhan yang dikenakan ke atasnya bersifat politik.

Dari semasa ke semasa Anwar perlu dibawa ke mahkamah untuk membolehkan pelbagai kes yang berkaitan dengannya dijalankan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS