Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Melaka akan rombak agensi, anak syarikat
Diterbitkan:  Dec 8, 2016 6:51 AM
Dikemaskini: 11:12 PM

Bagi memastikan pentadbiran dan pengurusan kira-kira 27 agensi dan anak syarikat dilaksanakan dengan berkesan, kerajaan negeri Melaka akan melakukan rombakan dengan melantik ketua-ketua yang mempunyai latar belakang, kepakaran dan pengalaman sewajarnya.

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata rombakan itu juga bagi memastikan pelantikan bukanlah berasaskan elemen politik semata-mata sehingga menjejaskan dan melemahkan keseluruhan pentadbiran dan pengurusan agensi atau anak syarikat.

"Kita akan meneliti secara terperinci penyambungan kontrak perkhidmatan ketua agensi dan anak syarikat dibuat mengikut prestasi... agensi atau anak syarikat yang mempunyai struktur lembaga pengarah sendiri pun tidak boleh menyambung kontrak sesuka hati.

"Penyambungan atau lantikan akan diatur mengikut keperluan kerana kita ada lebih kurang 27 agensi dan ketua pegawai eksekutif masing-masing. Ada yang ditempatkan di sesuatu agensi tetapi tidak dapat menyumbang kerana tiada kepakaran atau pengalaman dalam bidang berkenaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri semalam.

Beliau berkata lantikan secara politik dikhuatiri boleh menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan kakitangan anak syarikat atau agensi berkenaan.

Sementara itu, Idris mengingatkan supaya semua pegawai dan kakitangan kerajaan negeri di semua peringkat unit, agensi atau jabatan memastikan kerja atau keputusan dibuat mengikut garis panduan, undang-undang atau peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata mereka yang didapati melanggar atau tidak mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, perlu berdepan dengan proses siasatan, tuduhan dan hukuman sekiranya didapati bersalah.

"Kerajaan negeri telah menandatangani pelbagai ikrar melibatkan integriti jadi, kita tidak terlepas daripada pelbagai peraturan dan undang-undang dan ia diletakkan paling tinggi dalam urusan pentadbiran dan pengurusan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata kerajaan negeri akan mengadakan satu perhimpunan bagi memprotes tindakan kerajaan Myanmar menindas secara kejam etnik Rohingya.

"Kita jangka 10,000 rakyat negeri ini akan menyertai perhimpunan itu bagi menyatakan desakan kita agar kerajaan Myanmar menghentikan penindasan dan pembunuhan secara kejam di negara itu," katanya.

Beliau berkata perhimpunan itu juga bagi membantah Hadiah Nobel Keamanan yang diterima Menteri Luar dan Kaunselor kerajaan Myanmar, Aung San Suu Kyi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS