mk-logo
Berita
PAT beri amaran, Isu Rohingya boleh diekploitasi IS
Diterbitkan:  Dec 8, 2016 12:41 PM
Dikemaskini: 4:53 AM

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menggesa rakan sejawatnya di Myanmar untuk menyelesaikan isu Rohingya dengan bijaksana kerana ia boleh dieksploitasi oleh kumpulan militan Negara Islam (IS).

Zulkifeli berkata demikian kepada jeneral angkatan tentera Myanmar, Ming Aung Hhaing semasa lawatan beliau ke sana pada 5 disember.

"(Panglima ATM) beritahu kepada Ming Aung Hlaing bahawa jika ia tidak ditangani dengan baik dan dengan kebijaksanaan, ia boleh membawa kepada keadaan yang boleh dieksploitasi oleh Daesh (IS) untuk mengembangkan pengaruh dan kuasa di rantau ini.

"Perkara yang sama telah disampaikan semasa mesyuarat (panglima ATM) dengan Presiden Myanmar U Htin Kyan pada hari yang sama," kata ATM dalam satu kenyataan.

Zulkifli juga memberitahu Jeneral Myanmar bahawa Malaysia melihat ancaman IS sebagai serius dan memerlukan kerjasama Asean mengenai perkara itu.

Lawatan ke Myanmar adalah sebahagian daripada siri lawatan perpisahan menjelang persaraan beliau.

Myanmar semalam memanggil Duta Besar Malaysia untuk membantah kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada perhimpunan Solidariti Rohingya di Kuala Lumpur Ahad lalu.

Perhimpunan itu diadakan bagi membantah keganasan yang dilaporkan terhadap masyarakat Rohingya - sebahagian besarnya beragama Islam di negeri Rakhine yang bersempadan dengan Teluk Bengal.

Kerajaan Myanmar meletakkan syarat ketat untuk memberikan kewarganegaraan kepada masyarakat Rohingya walaupun kebanyakan mereka mendakwa telah tinggal di negara itu sejak beberapa generasi.

Pelarian Rohingya mendakwa tentera Myanmar di belakang keganasan itu, manakala kerajaan menyalahkan militan tempatan.

Bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Kofi Annan, yang melawat Rakhine selepas menerima jemputan pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi berkata keadaan itu tidak boleh diklasifikasikan sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Kerajaan Myanmar pada Selasa lalu mengumumkan pemberhentian sementara kemasukan buruh ke Malaysia.

Pada hari Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata agensi pelarian PBB boleh mengeluarkan kad hanya untuk pelarian Rohingya di Malaysia.

Malaysia tidak mengiktiraf pelarian secara rasmi, bagaimanapun, negara ini telah lama menjadi destinasi persinggahan pencari suaka bagi mendapatkan bantuan daripada agensi-agensi seperti UNCHR untuk ditempatkan di negara ketiga.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS