Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pengerusi 1MDB, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan rundingan antara firma pelaburan milik kerajaan itu dengan kerajaan mahupun syarikat dari China berhubung bantuan kewangan dalam pertikaian dengan International Petroleum Investment Company (IPIC).

"Sebagai pengerusi 1MDB, tidak ada perkara seperti itu. Berunding dengan China atau apa-apa. Itu sangat jelas.

"Saya pengerusi 1MDB, saya tahu. Jadi tiada apa-apa," kata beliau yang juga ketua setiausaha perbendaharaan.

Irwan Serigar berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan Financial Times semalam berhubung dakwaan bantuan kewangan dari China untuk membantu menyelesaikan pertikaian antara 1MDB dengan IPIC.

Menurut media kewangan berpengaruh dari UK itu, tiga individu yang rapat dengan hal tersebut berkata, China telah dilamar untuk menjadi sumber dana 1MDB dengan Malaysia akan menukar aset untuk pembiayaan.

Dakwaan berkenaan, bagaimanapun, tidak dapat disahkan secara bebas oleh Malaysiakini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendakwa menerima maklumat salah satu konglomerat berkaitan kerajaan (GLC) akan disenaraikan di Singapura pada tahun hadapan sebagai tukar ganti akan bantuan kewangan mengejut oleh China.

"Berita yang disiarkan oleh Financial Times hari ini benar-benar merunsingkan saya kerana ia seolah-olah mengesahkan maklumat yang saya perolehi beberapa bulan lepas mengenai kemungkinan salah satu GLC akan disenaraikan di Singapura dalam tahun 2017.

"Penyenaraian tersebut bagi memberi ruang kepada syarikat yang dikawal kerajaan China (secara langsung atau tidak langsung) menguasai sebahagian besar dari sahamnya.

"Soalan saya ialah GLC manakah yang mempunyai pengaruh yang sebegitu besar untuk dijadikan pertukaran bagi bantuan kewangan mengejut sebanyak RM30 bilion mengikut laporan Financial Times hari ini?" tanya Rafizi.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS