Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tuanku Abdul Halim saksi transformasi pembangunan pimpinan dua PM
Diterbitkan:  Dec 8, 2016 3:01 PM
Dikemaskini: 7:08 AM

Riak wajah yang ceria cukup memberi gambaran kegembiraan hatinya berbicara mengenai ayahandanya, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah, yang akan kembali ke Istana Anak Bukit selepas lima tahun berbakti sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Mengakui ayahandanya sentiasa sibuk dengan komitmen menjaga kebajikan negara dan rakyat yang dinaungi, ia nyata tidak menghalang puteri sulung baginda, Tunku Puteri Intan Safinaz untuk mengiringi ayahandanya menjelajah ke seluruh pelosok dunia dalam menjalankan tugasan rasmi.

Tunku Puteri Intan Safinaz, yang juga Tunku Panglima Besar Kedah, meleretkan senyumannya apabila mengimbas kembali kenangan bersama ayahandanya menjadi Ketua Negara di dua era pentadbiran kerajaan Malaysia.

Dalam satu temubual khas dengan Bernama di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit baru-baru ini, puteri diraja itu berkata ayahandanya amat bertuah kerana berpeluang melihat dua era ekonomi selepas merdeka yang cukup jauh berbeza di bawah pentadbiran dua perdana menteri.

Ketika baginda menyandang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima, Tun Abdul Razak Hussain adalah perdana menteri kedua Malaysia, dan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pula, baginda berganding dengan anakanda Abdul Razak iaitu Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

"Tuanku mewakili dua era ekonomi yang kita dapat lihat dan kaji iaitu selepas merdeka sehingga sekarang. Tuanku dapat melihat transformasi ini berlaku di bawah pentadbiran negara," katanya yang anggun mengenakan baju kurung berwarna kuning itu.

Membuka lembaran masa lepas ketika mengiringi ayahandanya suatu ketika dahulu, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata peristiwa paling manis yang tidak dapat dilupakannya ialah pengalaman menaiki kereta api dari negeri ke negeri dalam lawatan-lawatan.

"Era Tuanku menjadi Yang di-Pertuan Agong dulu, sistem pengangkutan sangat terhad, hendak bergerak dari satu tempat ke satu tempat ambil masa yang lama. Malah kita juga menaiki kapal terbang tentera udara yang sangat asas," katanya.

Berbezalah pula dengan sekarang, Tunku Puteri Intan Safinaz yang berusia 50 tahun itu berkata, transformasi ekonomi memperlihatkan kewujudan tren moden, kapal terbang canggih, ratusan universiti awam dan swasta, kemudahan internet dan rakyat juga mendapat pendidikan tinggi.

"Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong kali kedua menampakkan Kuala Lumpur sudah menjadi bandar metropolis, ini adalah satu perbezaan yang amat ketara, kalau dulu bangunan Parlimenlah yang tertinggi tapi sekarang kita miliki bangunan pencakar langit.

"Tuanku dapat melihat suasana ekonomi dan kemajuan rakyat yang amat tinggi, jadi isu pembangunan kerajaan adalah berbeza, mungkin sofistikated, kebanyakan isu besar sudah ditangani, negara sudah menjadi sebuah negara yang membangun," katanya.

Bersemayan di dua istana

"Banyak memori yang terbina antara saya dan ayahanda terutama apabila menyaksikan sendiri Tuanku mencipta sejarah tersendiri dengan dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali," ujarnya.

Malah lebih manis lagi, apabila Tuanku Abdul Halim dan keluarga berpeluang bersemayam di dua Istana Negara, iaitu di Jalan Istana Kuala Lumpur dan istana baru di jalan yang dinamakan bersempena nama baginda sendiri, iaitu Jalan Tuanku Abdul Halim.

"Ini menandakan pembangunan negara yang menjadi simbol kebanggaan untuk kita semua sebagai warganegara Malaysia," katanya.

Rapat dengan pentadbiran negeri

Puteri Sultan Kedah itu berkata ayahandanya mengambil contoh dan teladan dari nenendanya sendiri, Almarhum Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Hamid Halim Shah dalam urusan mentadbir kerajaan negeri.

"Sejak kecil saya melihat Tuanku setiap hari ke pejabat dan rapat dengan pentadbiran negeri Kedah malah Tuanku Sultan menggunakan masa-masa di pejabat untuk jadi penasihat dan penaung kepada kerajaan negeri," katanya.

Hubungan yang rapat itu, menurutnya disebabkan ayahandanya berpengalaman dalam bidang pentadbiran kerajaan negeri, misalnya pernah bertugas di Pejabat Tanah dan Galian dan Pejabat Daerah sebelum naik takhta menjadi Sultan Kedah yang ke-27 pada 14 Julai 1958.

Puteri Sultan Kedah itu berkata sebagai sebuah negeri yang mempunyai sejarah pentadbiran kerajaan negeri terawal dan paling lama, iaitu bermula sejak abad ke-17 lagi, Sultan di negeri Kedah memang mempunyai tanggungjawab sedia ada dan begitu rapat sekali dengan pentadbiran negeri.

"Kita tengok sebagai bukti Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah sebagai Sultan Kedah dari 1882-1943 menunjukkan bahawa sistem pentadbiran negeri Kedah sudah mantap dan efisien," katanya.

Berjiwa rakyat

Berpeluang mengiringi ayahandanya ke seluruh pelosok dunia dan negeri sejak kecil lagi atas urusan rasmi, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata Tuanku Abdul Halim cukup tinggi etika kerjanya dan sifat itu dikekalkan hinggalah sekarang.

Puteri Sultan Kedah itu berkata beliau dapat melihat kegembiraan bersinar pada wajah rakyat setiap kali Sultan Kedah mencemar duli berangkat ke majlis hari anugerah pelajar cemerlang bagi sekolah-sekolah yang terbaik di Kedah, suatu ketika dahulu.

"Saya mendapati Tuanku begitu tekun menjalankan tugas kerana percaya kehadiran dan keberangkatan Tuanku di setiap acara itu memberi banyak kegembiraan dan sebagai satu role model untuk mereka yang ada dalam acara itu.

"Semenjak saya kecil hingga sekarang, Tuanku tekun menjalankan kerja-kerja berbentuk keraian dan acara luar, kemasyarakatan dan istana, acara rasmi, aktiviti ketenteraan serta aktiviti pendidikan di universiti," kata Tunku Puteri Intas Safinaz yang sekarang adalah Canselor Universiti Utara Malaysia.

Sayang haiwan, gemar golf, fotografi

Puteri kandung yang mewarisi kecantikan Almarhumah ibundanya, Tuanku Sultanah Bahiyah binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman itu berkata, komitmen Tuanku Abdul Halim selaku Ketua Negara dan Sultan Kedah tidaklah sama sekali
membataskan aktiviti baginda dalam bidang sukan, rekreasi dan riadah.

Tunku Panglima Besar Kedah itu berkata, ayahandanya begitu meminati sukan golf, tenis, dan billiard sewaktu usia mudanya, malah turut mengikuti perkembangan pasukan bola sepak negara khususnya negeri Kedah.

"Saya masih ingat, sewaktu muda, setiap hari, Tuanku akan mengambil masa dari pukul 5.00 petang hingga 7.00 malam untuk bermain golf.

"Malah Tuanku turut mempunyai sebuah zoo kecil yang menempatkan haiwan seperti burung, rusa, dan kuda dan sangat mengambil berat terhadap pengawasan binatang peliharaan itu," katanya.

Lebih menarik lagi, Tunku Puteri Intan Safinaz menceritakan bahawa ayahandanya turut meminati bidang fotografi malah membeli pelbagai jenis kamera sebelum era digital, dan koleksi kamera itu masih disimpan sehingga hari ini.

"Tuanku turut memiliki bilik gelap untuk memproses filem-filem milik Tuanku sendiri," katanya.

Jemaah Pemangku Sultan

Sementara Tuanku Abdul Halim bersemayam sebagai Agong, Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang terdiri daripada adinda baginda Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah; Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah; dan Tunku Puteri Intan Safinaz sendiri mewakili sultan dalam urusan negeri.

Menyentuh detik-detik ketika menjadi Ahli Jemaah Pemangku Sultan, Tunku Puteri Intan Safinaz menyifatkan perkara itu adalah satu daripada penghargaan yang cukup berharga buat dirinya.

Puteri berjiwa rakyat itu memberitahu bahawa tugas dipikul bersama barisan Jemaah Pemangku Sultan yang lain dalam mewakili Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mentadbir rakyat di negeri Kedah bukanlah suatu perkara yang mudah.

"Segala tanggungjawab dan cabaran yang Tuanku pikul selama ini, barisan Jemaah Pemangku Sultan dapat rasakan dalam tempoh lima tahun," katanya.

Mengakhiri perbualan, Tunku Puteri Intan Safinaz turut menjunjung kasih di atas kepercayaan Tuanku Abdul Halim kepada Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Negeri Kedah dalam mentadbir negeri sepanjang tempoh Sultan Kedah bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong.

- Bernama

Lihat Komen
ADS