Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPA kaji keperluan struktur semula bahagian audit dalaman kementerian kesihatan
Diterbitkan:  Dec 8, 2016 3:51 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan melakukan kajian menyeluruh bagi menilai keperluan penstrukturan semula Bahagian Audit Dalaman Kementerian Kesihatan seperti yang diminta Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata kajian melibatkan bahagian kementerian yang berkenaan akan dilakukan, namun pada masa sama enggan mengulas lanjut mengenai tarikh proses berkenaan akan mula dilaksanakan.

Beliau berkata beberapa aspek akan diteliti melibatkan bahagian audit dalaman Kementerian Kesihatan seperti diminta PAC sebelum tindakan seterusnya diambil.

"Kita (JPA) sedia maklum dengan kenyataan dikeluarkan PAC serta mengambil serius mengenainya kerana sentiasa mahukan segala kawalan dalaman dan pengurusan bekalan ubat di klinik kesihatan berada pada tahap terbaik," katanya.

Mohamad Zabidi ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Genta Bahasa ke-3 serta menyempurnakan penutupan program Bulan Bahasa Kebangsaan Sektor Perkhidmatan Awam 2016 di Angkasapuri hari ini.

Semalam, PAC dalam satu kenyataan menerusi Pengerusinya Datuk Hasan Arifin meminta supaya JPA menilai keperluan penstrukturan semula Bahagian Audit Dalaman Kementerian Kesihatan bagi mengukuhkan kawalan dalaman dan pengurusan bekalan ubat di klinik kesihatan.

"Bahagian Audit dalaman yang kukuh diperlukan bagi kementerian besar seperti Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran yang membelanjakan sejumlah wang yang besar.

"Terdapat keperluan untuk mengkaji semula agar Bahagian/Unit Audit Dalaman melapor terus kepada Ketua Audit Negara," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Mohamad Zabidi yang juga pengerusi Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Perkhidmatan Awam turut menerima anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Perkhidmatan Awam 2016.

Anugerah yang julung kali diperkenalkan itu diberikan kepada Mohamad Zabidi sebagai penghargaan kepada usahanya dalam mengangkat, menjulang serta memartabatkan Bahasa Melayu menerusi penganjuran pelbagai program.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS