Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis rampas ketamin terbesar, bongkar makmal di Bukit Jalil
Diterbitkan:  Dec 8, 2016 5:41 PM
Dikemaskini: 9:46 AM

Polis membongkar satu makmal memproses dadah di sebuah pangsapuri di Bukit Jalil serta merampas ketamin seberat 210 kilogram iaitu rampasan terbesar dadah jenis itu tahun ini.

Selain itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM15.5 juta serta menahan tiga lelaki berusia antara 33 dan 37 tahun dalam serbuan di dua pangsapuri bermula 9.30 malam Ahad lepas hingga 4 pagi Isnin.

Turut dirampas tiga kenderaan milik ketiga-tiga suspek iaitu Toyota Estima, Toyota Mark dan Proton Gen 2 serta wang tunai sebanyak RM1,500.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff yang enggan memberikan nilai ketamin itu berkata ini adalah rampasan ketamin terbesar tahun ini.

Menurutnya, ketamin itu dipercayai diseludup dari China untuk pasaran tempatan.

"Kesemua rampasan dadah itu termasuk ketamin mampu menampung kira-kira 540,000 penagih berdasarkan kajian dan analisis yang dijalankan," katanya dalam sidang media hari ini.

"Kesemua suspek direman seminggu sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ditanya mengenai dadah yang kerap diguna penagih dan mendapat sambutan tinggi di negara ini, Mohd Mokhtar berkata kebanyakan penagih gemar mengambil syabu (47 peratus), heroin (30 peratus), pil kuda (12 peratus), ganja dan pil ekstasi masing-masing lima peratus dan ketamin satu peratus.

Sementara itu, Mohd Mokhtar berkata dadah pelbagai jenis bernilai RM211.98 juta berjaya dirampas untuk tempoh awal Januari tahun ini sehingga Ahad lepas.

Katanya sebanyak 189,190 orang termasuk 7,508 warga asing ditahan berkaitan kes dadah dalam tempoh yang sama.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS