Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
2 suspek warga Indonesia ditahan berhubung kes culik bayi
Diterbitkan:  Dec 9, 2016 6:18 AM
Dikemaskini: Dec 9, 2016 8:44 AM

Polis menahan dua suspek lelaki warga Indonesia hari ini bagi membantu siasatan berhubung bayi perempuan berusia lapan bulan yang dilarikan dihadapan rumahnya di Kampung Rawa Rawa, Batu 4, semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata selepas penahanan dua suspek berusia 37 dan 38 tahun itu beberapa lagi tangkapan akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan kes itu.

Katanya tangkapan itu dilakukan selepas mangsa ditemui ditinggalkan di bahagian belakang sebuah kedai kosong di Batu 24, Jalan Apas oleh ibu saudaranya kira-kira pukul 8 malam.

"Ibu saudara mangsa telah dihubungi suspek dan bayi itu dibebaskan dipercayai selepas bapa mangsa membuat transaksi kepada suspek sebanyak sebanyak Rp100 juta (RM33,332.58) ke dalam akaun bank atas nama 'syamsul'. Transaksi itu adalah sebagai pembayaran hutang dadah," katanya dalam kenyataan di Tawau hari ini.

Fadil berkata siasatan awal kejadian bayi itu dilarikan disyaki berikutan bapa mangsa kini dipenjarakan di Samarinda, Indonesia telah memperkenalkan pembeli dadah jenis Syabu dari Indonesia tetapi pembeli tersebut gagal membayar dan gagal dikesan.

"Ekoran itu, individu bernama Jai dan Iskandar telah beberapa kali berjumpa dengan ibu mangsa untuk menuntut wang sebagai ganti rugi sehingga membawa kepada kejadian itu berlarutan dan mangsa diculik," katanya.

Semalam dilaporkan, seorang bayi perempuan dilarikan seorang lelaki di rumahnya di Kampung Rawa-Rawa, Batu 4, di sini dan kehilangan bayi itu disedari oleh ibu saudara mangsa kira-kira jam 6.15 pagi.

Kejadian itu dikaitkan dengan suspek menuntut wang RM100,000 berkaitan hutang dadah dari bapa mangsa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS