Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Ketika suanana politik kian panas dan cakap-cakap mengenai pilihan raya umum (PRU) ke-14, Parti Amanah Negara (AMANAH) bagaikan memberi kata dua kepada PAS.

Naib Presiden AMANAH Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata PAS wajar diberi tempoh untuk menentukan pendirian mereka dalam percaturan semasa politik negara.

"Tarikh akhir perlu ditetapkan kepada PAS untuk membuat keputusan sama ada mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) atau tidak kerana pada hujung 2016 kita mesti tahu dengan jelas, siapa yang bersama kita atau menentang kita," kata Mujahid di Pulau Pinang.

Malah, katanya, jika PAS tetap dengan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan HARAPAN, parti terbabit bolehlah disifatkan sebagai sekutu BN.

"Jika mereka tidak bekerjasama dengan kita, kita harus menganggap mereka bekerjasama dengan BN.

"Kekal tidak mengambil sikap menyebelahi sesiapa tidak memberi keuntungan kepada HARAPAN, sebaliknya memberi faedah kepada BN," kata anggota Parlimen Parit Buntar itu.

Mujahid adalah antara 18 "pemimpin progresif" yang meninggalkan PAS selepas mereka diketepikan perwakilan dalam muktamar parti itu tahun lalu.

PAS bekerjasama dengan parti pembangkang utama - PKR dan DAP - membentuk Pakatan Rakyat bagi menghadapi BN pada PRU ke-12, membolehkan pembangkang memenangi banyak kerusi pilihan raya.

Bagaimanapun selepas PRU ke-13 gabungan itu berakhir apabila wujud perseteruan antara PAS dan DAP. Ia kemudian membawa kepada penubuhan AMANAH yang membentuk HARAPAN.

Harapkan keputusan positif

Sesetengah penganalisis berpendapat PRU ke-14 boleh diadakan seawal Mac tahun depan.

Mengulas lanjut, Mujahid yang juga anak bekas mursyidul am pertama PAS tidak menolak kemungkinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan menjadi rakan sekutun HARAPAN menjelang PRU ke-14.

"Kami benar-benar berharap BERSATU akan membuat keputusan yang jelas tidak lama lagi sama ada menyertai HARAPAN atau tidak," kata Mujahid.

Difahamkan mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN akan diadakan pada 13 Disember ini bagi membincangkan perkara tersebut.

Pada pertemuan itulah, kata Mujahid pimpinan HARAPAN akan mendapatkan keputusan rasmi selepas BERSATU menangguhkan kemasukan mereka baru-baru ini.

"Kali ini mereka mungkin sudah ada keputusan dan kami melihatnya sebagai sesuatu yang positif," katanya.

Sementara itu, Mujahid berkata AMANAH berminat untuk bertanding di kerusi milik PAS pada PRU akan datang memandangkan parti Islam itu bukan rakan sekutu HARAPAN.

Katanya keputusan itu bukan didorong oleh dendam peribadi walaupun ia mungkin memberi kesan kepada beberapa wakil PAS yang mesra dengan HARAPAN.

Di Pulau Pinang, Datuk Salleh Man adalah ADUN Permatang Pasir dan kawasan itu dianggap mesra kepada HARAPAN. Namun ia tetap menarik minat AMANAH untuk ditandingi.

"Ia bukan mengenai Salleh Man. Tidak kira bagaimana baik seseorang, dasar parti diutamakan.

"Kita menganggap beliau sebagai kawan AMANAH tetapi parti itu (PAS) tidak" tegasnya.

Lihat Komen
ADS