Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM: Perkhidmatan awam, swasta, GLC bebas rasuah 3 tahun lagi
Diterbitkan:  Dec 9, 2016 3:13 PM
Dikemaskini: 7:17 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memastikan sektor perkhidmatan awam, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersih dan bebas daripada rasuah dalam tempoh tiga tahun, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad.

Beliau berkata ketiga-tiga sektor berkenaan ketika ini agak kritikal kerana banyak amalan rasuah dan salah guna kuasa.

"Oleh itu, bagi memastikan sasaran yang digariskan ini tercapai pihak saya mengambil pendekatan dengan merampas semula kesemua harta dan hasil rasuah.

"Hal ini perlu bagi memastikan hasil rasuah atau 'proceeds of corruption' ini dapat dikembalikan semula sebagai hasil negara dan secara tidak langsung melumpuhkan secara keseluruhanya punca kepada berlaku perilaku rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Hari Anti Rasuah Antarabangsa yang disambut hari ini di seluruh negara bertemakan 'Sehati Sejiwa Memerangi Rasuah'.

Dzulkifli berkata melalui strategi yang direncana tindakan operasi serta penguatkuasaan memerangi rasuah telah dilipatgandakan dengan lebih agresif oleh SPRM sejak Ogos lepas.

"Kerancakan operasi penguat kuasa yang dijalankan SPRM kini memaparkan hasil luar biasa, positif dan membanggakan.

"Hasrat SPRM untuk menjadi sebuah agensi digeruni perasuah dan mesra rakyat dilihat semakin dirasai oleh masyarakat," katanya.

Beliau berkata sokongan dan keinginan rakyat untuk berganding bahu bersama SPRM memerangi rasuah semakin bertambah dan meningkat.

"Walaupun kedengaran suara-suara sinis baru-baru ini yang begitu skeptikal dalam menidakkan sokongan rakyat terhadap usaha SPRM memerangi rasuah, saya bersama barisan pimpinan tidak akan gentar dan kekal ampuh berdepan sebarang kritikan dan cabaran," katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim dan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS